23 Julai 2013

Warga Islam Filipina hantar pulang kurma

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Abu Dhabi: Sebuah kumpulan masyarakat Islam Filipina terbesar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan menghantar sejumlah 500 kilogram kurma ke masjid di tanah air mereka sempena kedatangan Ramadan ini. 

“Ia adalah satu tradisi menghantar kurma ke tanah air ketika Ramadan sejak lima tahun lalu,” kata seorang penasihat kepada kumpulan Maranao Community, Sahron Roy Tamano, 39. 

“Kami bersyukur bukan hanya masyarakat Islam tetapi juga Kristian turut menyertai dalam semangat Ramadan ini dengan menderma bungkusan derma untuk manfaat masyarakat Islam kurang berkemampuan di selatan Filipina.” 


Inisiatif berkenaan adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang antara lain menyifat-kan bahawa amalan bersedekah walaupun hanya dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan hambanya daripada api neraka. 

Kebanyakan masyarakat Islam biasanya akan berbuka puasa dengan menikmati buah kurma, tetapi bagi penduduk Islam di selatan Filipina mereka sukar untuk mendapatkan buah berkenaan. 

“Sebelum bekerja di UAE lapan tahun lalu, saya sukar untuk menemui kurma di Bandaraya Marawi,” kata Tamano. 

“Mereka yang pulang daripada menunaikan haji akan berkongsi buah terbabit dengan rakan-rakan atau saudara mara, manakala tidak banyak buah yang dihantar oleh kedutaan Arab Saudi di Manila.” 
Ada lebih 14,000 masyarakat Islam Filipina di UAE. Antara 2,500 hingga 3,000 daripada mereka adalah masyarakat Maranao iaitu penduduk yang tinggal di Lanao, wilayah yang dikuasai penduduk Islam di selatan negara terbabit. 

Kurma yang tiba minggu lalu, dikumpulkan oleh ahli Marcom dan rakan sekerja Filipina atau UAE. Penduduk lain termasuk rakyat Pakistan, Amerika Syarikat dan Jordan juga turut menyumbangkan wang tunai bagi bayaran kepada penghantaran berkenaan. - AGENSI

Tiada ulasan: