17 Januari 2012

1,000 peneroka Kesedar berhimpun tuntut keadilan

23 Safar 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG, 17 Jan: Selepas lebih 30 tahun berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga kebajikan terabai, akhirnya peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menyerah memorandum menuntut hak mereka.

Memorandum yang mengandungi 15 tuntutan peneroka daripada sembilan rancangan kemajuan (RKT) tanah Kesedar diserah Pengerusi Badan Bertindak Pewaris Bumi Wilayah (Waris) Kesedar Kelantan, Hamdan Jusoh pagi tadi.

Memorandum setebal tiga muka surat itu diterima Pengurus Besar Kesedar, Arshad Ismail selepas majlis dialog dengan wakil-wakil peneroka.

Sebelum itu lebih 1,000 peneroka daripada sembilan RKT terbabit berarak bermula di Pejabat Agama Gua Musang menuju ke ibu pejabat Kesedar di Bandar Baru Gua Musang.

Mereka hadir beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada Waris bagi membela nasib mereka, selepas mendakwa sekian teraniaya di bawah pengurusan Kesedar.

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter diketuai Hamdan. Hadir sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, Mazlan Aliman, Pengerusi Waris Pusat, Ruslan Ismail dan Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin.

Antara tuntutan yang dikemukakan Waris termasuk menghapus hutang peneroka Kesedar seperti mana yang dijanjikan, Kesedar hendaklah berlaku adil dalam setiap pembahagian peruntukan projek dan bantuan.

Selain itu Kesedar harus memberi 10 ekar kepada peneroka, peneroka perlu tahu ke mana wang hasil ladang sawit dan getah.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Ruslan berkata, Kesedar perlu memberi penjelasan terperinci kos yang ditanggung peneroka bagi proses tanam semula.

“Peneroka ingin tahu ke mana hasil ladang Kesedar diurus oleh Kesedar Dagang. Kesedar juga perlu menjelaskan ke mana wang pampasan yang dibayar kerajaan untuk tanah peneroka yang terlibat dengan jalan, kabel elektrik dan sebagainya.

“Kesedar juga perlu menjelaskan kos tanam semula bagi setiap hektar kebun. Kami juga memohon Kesedar membayar balik wang lebihan dan hutang yang telah dibayar melalui potongan bayar kembali (BK),” katanya.

Selain itu kata beliau Kesedar perlu menyerah balik jawatan pengerusi Kesedar kepada Menteri Besar Kelantan.

Salinan memorandum yang sama diserah kepada Sultan Kelantan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar Kelantan dan pengurus Pejabat Operasi RKT Kesedar.

Perhimpunan aman yang diadakan di kawasan ibu pejabat Kesedar mendapat permit polis. Ada beberapa anggota polis berkawal di pintu masuk ke pejabat Kesedar.

Hanya lima wakil peneroka dan kepimpinan Anak dan Waris sahaja dibenarkan masuk.

Sejurus selepas selesai majlis tersebut, seorang peneroka dari Paloh 3, Hamid Awang Kechik, 54 membuat laporan polis ekoran kebun sawitnya seluas ditebang Kesedar biar pun beliau tidak mengizinkan bagi projek tanaman semula.

Sebahagian peneroka yang hadir turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang bagi memberi sokongan kepada Hamid.

Hamid juga meluahkan rasa bimbang perjanjian kedua yang diminta ditandatangani setiap peneroka menyebabkan kebun diusahakan selama ini hilang begitu sahaja.

Harakah Daily

Tiada ulasan: