17 Januari 2012

Gesa pantau binaan haram

23 Safar 1433H. [MOD] -

PANTAI TENGAH - Penduduk kesal dengan sikap tidak bertanggung jawab peniaga yang mengambil kesempatan pada tanah simpanan jalan raya yang sewenang-wenangnya membina bangunan haram sekitar Pantai Tengah.

Penduduk, Noraishah Mahmud, 35, berkata, pembinaan haram di pinggir jalan itu bukan sahaja mengganggu lalu lintas tetapi juga menjejaskan pandangan awam.

Menurutnya, sebelum ini dia ada terserempak dengan penguat kuasa majlis yang membuat rondaan dan pemantauan, tetapi pihak tidak bertanggung jawab tetap meneruskan pembinaan haram tersebut dan kini ia hampir siap.

“Kami kesal kerana penguatkuasaan tidak dibuat secara menyeluruh. Sebelum ini, pihak penguat kuasa pernah merampas peralatan dan mengenakan kompaun terhadap penduduk yang menjalankan perniagaan menjual kuih muih kerana tidak ada lesen perniagaan.

“Sedangkan pembinaan haram itu dibina secara terang-terangan, namun pihak penguat kuasa majlis membiarkan sahaja tanpa ada tindakan. Saya gesa mereka mengambil tindakan segera atau roboh binaan haram itu serta bertindak adil kepada penduduk sekitar,” katanya.

Noraishah berkata, pihaknya tidak mahu wujud situasi pilih kasih, apabila mereka yang membina binaan haram terlepas daripada tindakan undang-undang.

Setiausaha Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Mahamad Suhaimi Man berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis dan operasi perobohan akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya terbukti binaan berkenaan tidak mempunyai kelulusan.

“Pengusaha terbabit diminta datang ke MPLBP jika perlu nasihat dan rujukan sebelum melakukan perubahan matan atau pembinaan baru bangunan,” katanya.

Mahamad Suhaimi berkata, untuk memastikan segala peraturan dan undang-undang dipatuhi dalam membuat binaan baru di kawasan itu, pihaknya telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja kerana tidak mendapat kelulusan selain melanggar undang-undang mengikut Seksyen 425 (Kanun Tanah Negara).

Beliau berkata, pihak berkenaan juga telah melanggar Undang-undang Kecil Bangunan kerana mendirikan bangunan tanpa kelulusan MPLBP.

Sinar Harian

Tiada ulasan: