17 Januari 2012

Tangki stesen minyak bocor, pengguna gempar

23 Safar 1433H. [MOD] -

MUAR: Kebocoran petrol dari tangki simpanan sebuah stesen minyak dekat Jalan Bakri di sini mencetuskan kegemparan dalam kalangan orang ramai apabila bahan bakar itu mengalir memasuki longkang berdekatan.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu disedari pekerja stesen minyak terbabit sebelum bergegas menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Muar di sini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod, berkata sebuah jentera bersama 10 anggota dihantar bagi membantu mengawal keadaan.
“Kami terpaksa menggunakan sebatian buih untuk menyingkirkan minyak terbabit yang didapati mengalir di kiri dan kanan longkang berdekatan stesen minyak berkenaan.

“Kita terima panggilan kira-kira jam 2 petang memaklumkan ada bau minyak yang kuat di sekitar stesen itu.

“Apabila sampai, kami mendapati minyak sudah memasuki parit di sekeliling stesen sebelum mengambil langkah kawalan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Ismail berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan berlakunya kebocoran pada sistem paip di lokasi penyimpanan bekalan stesen itu.
Sementara itu, pemilik stesen berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya menutup stesen terbabit sehingga punca kejadian disiasat.
“Kita akan tutup sehingga semua masalah selesai.

“Kita juga akan minta pengurusan syarikat pembekal di Kuala Lumpur datang menjalankan siasatan kerana ia membabitkan keselamatan awam,” katanya.

utusan malaysia/-

Tiada ulasan: