02 Februari 2012

KB Sentral, Tunjong bakal tarik pelaburan RM10 bilion

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TAHUN ini adalah tahun melawat Kelantan atau dikenali dalam kalendar pelancongan sebagai Visit Kelantan Year 2012 atau TMK@12, yang dilancarkan Menteri Besar, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Kelantan bukan sahaja merupakan sebuah destinasi yang unik, ia juga merupakan sebuah negeri yang paling ramai penduduk Melayu beragama Islam yang ditadbir oleh PAS sejak sekian lama.

Kelantan yang terletak di utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia, merangkumi tanah seluas 14,922 kaki persegi, dengan Kota Bharu sebagai ibu negeri.

Ekonomi Kelantan adalah berasaskan pertanian padi, getah dan tembakau. Kegiatan menangkap ikan di persisiran pantai sepanjang 96 kilometer turut merupakan aktiviti ekonomi yang penting.

Industri kecil-kecilan yang menggunakan kemahiran tradisi dalam penghasilan kraftangan seperti batik, ukiran kayu dan tenunan songket juga agak meluas.
Selain itu, kegiatan pembalakan juga aktif kerana ia keluasan hutan Kelantan masih banyak. Beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan, terutamanya ke pulau-pulau makin popular.

Pasar Besar Siti Khadijah di pusat bandar Kota Bharu masih merupakan tarikan utama. Kebanyakan peniaga di sini adalah wanita dengan deria perniagaan bagus. Wanita di Kelantan adalah penggerak utama dalam ekonomi perniagaan.

Namun, Kelantan dikategorikan antara negeri termiskin di Malaysia, dengan KDNK per kapita sekitar RM6,000, iaitu kira-kira satu pertiga negeri kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, ramai penduduk Kelantan yang bekerja sendiri, termasuk ramai profesional Melayu Kelantan yang bertebaran di seluruh pelusuk negeri, tetapi data-data ini tidak termasuk dalam perkiraan KDNK.

Walaupun Kelantan merupakan lokasi strategik bagi ekonomi yang menghubungkan negara-negara dagang di rantau sekitar Indo China, tetapi ia disisihkan Kerajaan Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Pusat.

Orang-orang Melayu Kelantan cuba disisihkan oleh Umno-BN dari arus pembangunan. Kesan daripada diskriminasi yang dilakukan kerajaan pusat sejak sekian lama, pelaburan asing disekat dan pembangunan dihadkan.

Malah, yang paling jelek dilakukan pemimpin Umno-BN yang memerintah ialah menafikan hak rakyat Kelantan menikmati royalti petroleum dari bumi mereka sendiri dan menggunakan hab di negara asing untuk mengeluarkan hasil petroleum dari perairan Kelantan, walaupun dari jarak batu nautikanya, pesisir pantai Bachok lebih dekat dengan kawasan penggalian.

Semasa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Kelantan dimasukkan dalam kelompok Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bersama Terengganu dan Pahang.

ECER adalah satu projek mega yang dirancang oleh kerajaan pusat, dilancar Abdullah pada tahun 2007. Ia mensasarkan lima teras ekonomi iaitu pelancongan, minyak gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian, dan pendidikan.

ECER dirangka kononnya untuk menggerakkan pembangunan bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi, meningkatkan keupayaan dan pengetahuan serta kualiti hidup kira-kira 4 juta penduduk di wilayah berkenaan.

Namun ECER hanya menjadi impian dan omong-omong kosong BN. Perancangan dan pelaksanaan ECER terbantut selepas Abdullah disingkirkan Umno dari jawatan PM. Bukan sahaja Kelantan yang tidak diberi peruntukan, malah Terengganu dan Pahang, dua buah negeri yang dikuasai Umno-BN, turut tersisih.

Projek pembangunan koridor gagal kerana Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno-BN tidak mempunyai idea dan tidak mempunyai dana.


Pembangunan Bandar Baru Tunjong

Hari ini, Kelantan sudah berdikari. Ia tidak perlu terperangkap dengan pelbagai agenda ekonomi kerajaan pusat yang terus gagal akibat ketirisan dan ketidakmampuan Umno-BN.

Hasil kebijaksanaan pemimpinnya, Kelantan sudah berjaya keluar dari kelompok negeri miskin sedikit demi sedikit. Aktiviti ekonomi di Kelantan begitu rancak dirancang Exco Kanan, Dato' Husam Musa yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat.

Dalam analisis ini penulis tidak mahu menyentuh semua aspek ekonomi. Cukup sekadar hendak memfokuskan minda pembaca terhadap pembangunan besar Bandar Baru Tunjong juga diberi nama KB Sentral, yang bakal menarik pelaburan sebanyak RM10 bilion dalam jangka waktu yang amat pendek.

Bandar Baru Tunjong terletak kira-kira 4 km dari Kota Bharu. Ia terletak di sempadan Daerah Kota Bharu dengan Ketereh. Lokasinya strategik di tepi jalan besar Kuala Krai ke Kota Bharu.

Tunjong yang merupakan suatu kawasan yang tidak terkenal, yang agak tersisih dari arus pembangunan di pusat bandar kerana ia merupakan tanah pertanian padi, kini sudah mengalami transformasi yang cukup besar, di luar jangkaan.

Tunjong merupakan sebuah bandar baru yang akan mengimbangi kepesatan Kota Bharu, dijangka akan berubah wajah dalam tempoh 5 hingga 7 tahun.

Projek yang dinamakan KB Sentral ini akan dibina melalui enam fasa, dibangunkan di atas tanah seluas 2,000 ekar untuk jangka masa sasaran 10 tahun.

Namun sehingga kini pihak pengurusan Tunjong Development Corporation Sdn Bhd, iaitu agensi di bawah PMBK, sudah menerima komitmen pelabur untuk tanah seluas 1,500 ekar. Dalam bahasa mudahnya, ia sudah mempunyai ready developer.

Menurut Pengurus Tunjong Development Corporation, Nazri Deraman, pihaknya sudah membuat perjanjian dengan 38 pelabur dari Kelantan dan seluruh negara, termasuk syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Sehingga kini, Kerajaan Kelantan melalui Tunjong Development Corporation sudah mendapat komitmen pelaburan sebanyak 4 bilion bagi tiga fasa yang sebahagiannya sudah mula dibangunkan.

Pembangunan yang akan dijalankan di bawah Bandar Baru Tunjong meliputi bangunan pentadbiran kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri meliputi 14 agensi.

Pembangunan Tunjong mencakupi, bangunan pentadbiran, pusat pendidikan, pusat komersial, perumahan, Masjid Sultan Muhammad ke V, taman tema air (dua lokasi) dan pelbagai kemudahan yang dijangka akan menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan khususnya.

Ia dirancang sebgitu rapi merangkumi pembinaan hospital, kolej perubatan, univesiti awam, kilang pembuatan industri kecil dan sederhana (IKS)

Untuk kepentingan rakyat, Tunjong Development Corporation turut menyediakan 400 lot untuk peniaga kecil, berbentuk perniagaan bazar basah dan kering.

400 lot itu semuanya sudah sold out kerana kerajaan negeri dan pemaju bermurah hati memberikan pinjaman mudah tanpa faedah, kepada setiap peniaga sebanyak RM20,000 seorang. Yang bagusnya, mereka boleh membayar balik pinjaman tersebut dalam terma yang tidak ditetapkan, iaitu sama ada pembayaran dalam bentuk harian, mingguan atau bulanan sehinga selesai pinjaman.

Rakyat Kelantan akan mempunyai bandar auto terbesar (Auto City) kerana 52 ekar tanah di Bandar Baru Tunjong sudah habis ditempah oleh pembekal dan peniaga automotif yang terkenal termasuk jenama Mercedes Benz, BMW, Nissan, Honda, Toyota, Proton dan lain-lain.

Kawasan seluas 52 ekar ini dijangka menjadi Ruang Pameran Automotif terbesar bagi seluruh Kelantan, dan barangkali juga di Malaysia.

Ia juga memperuntukkan tanah seluas 41 ekar sebagai Terminal Makanan Negara yang berkonsepkan pasar borong.

Oleh kerana pada asalnya Tunjong merupakan tanah padi, maka Tuan Guru Nik Aziz mahu menjadikan Bandar Baru Tunjong dibangunkan dengan konsep bandar Islam dan bandar hijau dengan menggunakan teknologi hijau, saving energy bagi memastikan alam persekitaran terpelihara.

Untuk itu, kerajaan negeri mengekalkan tanah seluas 20 ekar tanah yang dinamakan Baruh Tunjong. Ia akan menjadi pusat penanaman padi organik dan menjadi bandar warisan (Culture Town) sebagai tarikan pelancongan. Baruh Tunjong akan diabadikan sebagai warisan untuk generasi akan datang mengetahui asal usul Bandar Baru Tunjong.

Setakat ini pihak pengurusan Tunjong Development Corporation sudah memeterai perjanjian dan pelaksaaan projek dengan pelabur untuk keluasan tanah 1,500 ekar. Ini bermakna 500 ekar lagi tanah di Tunjong masih terbuka untuk pelabur dalam dan luar negeri.

Uniknya, untuk mendapat pelaburan sebanyak RM10 bilion, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang dana untuk membuat pembangunan. Pada istilah orang kita disebut, hanya dengan bermodalkan 'air liur' dan menawarkan tapak untuk dibangunkan, Kerajaan Negeri Kelantan mampu meminta Kota Bharu kedua.

Ianya bukan modal 'air liur' kosong semata-mata. Ianya adalah hasil kebijaksanaan pemimpin, merancang ekonomi. Hebat Kelantan kerana ia boleh membangunkan bandar baru dengan cara yang strategik berbekalkan modal swasta.

Kelantan boleh!

Harakah Daily

Tiada ulasan: