02 Februari 2012

Konstabel dipenjara

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang anggota polis berpangkat konstabel, yang didapati bersalah terhadap tuduhan melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang remaja, dua tahun lalu.

Hukuman dijatuhi oleh Majistret Nor Azlina Hashim terhadap Mohd Hakimi Samsul, 21. Dalam penghakimannya, beliau menolak keterangan pembelaan bahawa Mohd Hakimi melepaskan tembakan kerana Mohd Azizi Azri Aziz, 20, enggan memberhentikan motosikalnya selepas diberi amaran.

Bagaimanapun, beliau membenarkan hukuman di­tangguhkan bagi membenarkan pihak pembelaan membuat notis rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jaminan daripada RM3,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut keterangan kes, insiden bermula di depan pusat beli-belah di Jalan Datuk Siamang Gagap, apabila kereta peronda dinaiki Mohd Hakimi bersama dua anggota polis terserempak sekumpulan penunggang motosikal termasuk Mohd Azizi, yang didapati menunggang dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan.

Kumpulan penunggang motosikal itu cuba melarikan diri ketika ditahan menyebabkan berlaku kejar-mengejar.

Polis melepaskan beberapa tembakan amaran, namun satu das tembakan daripada senjata milik Mohd Hakimi dipercayai terkena perut Mohd Azizi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: