02 Februari 2012

Radiasi punca misi ke angkasa gagal

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MOSCOW: Ketua Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos), Vladimir Popovkin, berkata kegagalan kapal angkasa lepas tanpa pemandu Phobos-Ground dalam misinya menuju ke Phobos, satu daripada bulan di planet Marikh, berkemungkinan disebabkan ‘pengaruh partikel angkasa lepas yang dipenuhi radiasi.’

“Dua unit sistem komputer di dalam Phobos-Ground bertukar kepada mod ‘hidupkan semula’ yang menjimatkan tenaga dan ia jelas akibat radiasi,” katanya.
Popovkin berkata, kelmarin bahawa radiasi kosmik mungkin menjadi punca kegagalan kapal angkasa itu menuju ke Phobos, lalu terhempas ke bumi bulan ini, dan mendakwa bahawa komponen import kualiti rendah mungkin terdedah kepada radiasi.

Popovkin juga berkata, sebuah kapal angkasa yang dikemudi untuk dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) ditunda sejak 30 Mac lalu kerana kecacatan ditemui dalam kapsul Soyuz.

Kenyataan itu menggariskan pelbagai masalah yang menjejaskan program angkasa lepas yang dibanggakan negara itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk kemalangan Ogos lalu sebuah kapal bekalan untuk stesen angkasa lepas dan bulan lalu kemalangan sebuah satelit komunikasi.

Sejak tamatnya program kapal angkasa lepas Amerika Syarikat tahun lalu, kapal Russia hanyalah satu-satunya cara menghantar krew masuk dan keluar dari ISS.

Phobos-Ground dilancarkan ke Phobos, bagi mengambil sampel tanah dan membawanya pulang. Namun ia terkandas dalam orbit bumi sejurus dilancarkan 9 November lalu.
Agensi berita Russia, Ria Novosti melaporkan pada 24 November bahawa misi itu diumumkan gagal berikutan kapal angkasa terbabit tidak lagi boleh dihantar ke Marikh.

Ia jatuh dari orbit pada 15 Januari lalu, dilaporkan di luar pantai Chile, namun tiada serpihan ditemui.

Misi penghantaran dibangunkan Roscosmos, dan dibangunan oleh NPO Lavochkin bersama Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Russia.

Kapal itu adalah yang pertama dilancarkan ke Phobos selepas kegagalan projek penghantaran kapal angkasa ke Marikh pada 1996 yang dikenali sebagai Mars 96.
Kegagalan kali ini dianggap memalukan Russia dan Popovkin pada awalnya menyatakan ia mungkin akibat sabotaj pihak asing.

Namun kelmarin, beliau berkata, dalam satu ucapan bahawa siasatan menunjukkan punca mungkin adalah ‘pengaruh tempatan partikel angkasa lepas yang dicemari radiasi.’ – Agensi

Tiada ulasan: