02 Februari 2012

Pengawal keselamatan mati diserang sekumpulan lelaki

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan di sebuah tapak projek sub stesen Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Seksyen 18 di sini mati selepas dipercayai diserang dan ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata mangsa dikenali sebagai I. Krishnanmurthy, 31, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, dahi dan badan serta tangan kanan mangsa juga putus.

Beliau berkata kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai seramai 20 orang menaiki kereta dan kenderaan pacuan empat roda menyerang mangsa dengan merempuh pintu utama sub stesen berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu.

"Kita turut menjumpai sebilah parang yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk menetak mangsa dalam kejadian itu.

"Siasatan awal tidak menolak motif kejadian ada kaitan dengan dendam membabitkan dua kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 03-55202222 bagi membantu siasatan.- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: