02 Februari 2012

Facebook jual saham

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Lapan tahun selepas penubuhannya, gergasi rangkaian sosial Facebook bakal mengemukakan permohonan tawaran awam bagi menjual sahamnya di pasaran terbuka.

Menurut laporan media tempatan, Facebook yang mempunyai lebih 800 juta pengguna dijadualkan mengemukakan prospektus untuk tawaran awam awal (IPO) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS seawal pagi semalam.

Berita berhubung permohonan IPO oleh Facebook didedahkan akhbar Wall Street Journal pada minggu lalu, lapor agensi berita AFP.

Menurut akhbar berkenaan, syarikat berpangkalan di Palo Alto, negeri California itu merancang mengumpulkan sebanyak AS$10 bilion (RM30.4 bilion).

Namun, sasaran AS$10 bilion itu dikurangkan kepada hampir separuh dalam beberapa laporan baharu yang disiarkan kelmarin dalam akhbar The New York Times dan International Financing Review.

Namun, Facebook yang diterajui bilionair muda, Mark Zuckerberg tidak mendedahkan bilangan saham atau senarai harga tawaran awam tersebut. - Agensi

Tiada ulasan: