02 Februari 2012

Rahsia pak andam terbongkar

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GERIK – Rahsia seorang pak andam yang menyorokkan ketulan disyaki ganja di tempat simpan barang kereta akhirnya terbongkar apabila dia bersama rakannya terlibat dalam satu kemalangan.

Dalam kemalangan di Kilometer 47.8 Jalan Kuala Kangsar menuju Gerik itu, kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbabas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Abdul Manab Baharum berkata, polis mendapati terdapat 54 ketulan disyaki ganja di letakkan dalam tempat simpan barang kereta.

Menurutnya, kedua-dua suspek membawa dadah yang bernilai kira-kira RM 205, 000 untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

“Kira-kira jam 8.30 pagi, polis menerima maklumat orang awam berkaitan sebuah kereta Proton Saga terbabas.

“Apabila tiba di lokasi, didapati kedua-dua suspek tersepit di dalam kereta dan polis menemui dua buah beg plastik kanvas berisi 54 ketulan mampat berbalut plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja, di tempat simpan barangnya” katanya.

Suspek berusia 34 dan 40 tahun itu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Ipoh, pada masa yang sama mereka juga ditahan reman.

“Siasatan lanjut mendapati rakan suspek yang bekerja sebagai penarik kereta mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di IPD Gerik, di sini, semalam.

Manakala, dalam kes berasingan seorang remaja berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pembeli getah ditangkap dalam serbuan di Taman Desa Permata.

“Hasil maklumat orang ramai, serbuan dilakukan di rumah suspek dan pihak polis berjaya menemui 25 paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 163 gram dengan nilai anggaran kira-kira RM 24, 450.

Tambah Manab, pihaknya turut menyita harta suspek bernilai RM 94, 350 yang disyaki harta menyalahi undang-undang iaitu sebuah lori, sebuah kereta Honda Accord, sebuah motosikal EX5 dan wang tunai.

Sinar Harian

Tiada ulasan: