28 Mac 2012

Bekas MD IMF didakwa terlibat sindiket pelacuran

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PARIS - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn berhadapan dengan tuduhan terlibat dalam rangkaian pelacuran sebahagian daripada skandal yang dikenali sebagai "Carlton Affair" di Perancis.

Strauss-Kahn, yang meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF pertengahan tahun lalu ekoran dakwaan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di New York, Amerika Syarikat, kini diletakkan di bawah siasatan secara formal di Lille.

Tuduhan serangan seksual yang dikenakan tahun lalu kemudian digugurkan. Pekerja hotel itu kini memfailkan kes sivil ke atas Strauss-Kahn.

Laporan media dipetik BBC menyebut beliau ada mengakui pernah menghadiri majlis keramaian, yang menurut pihak berkuasa pelacur-pelacur dibekalkan oleh sindiket dan kumpulan tertentu.

Bagaimanapun Strauss-Kahn menafikan tahu-menahu yang wanita-wanita berkenaan sebagai pelacur.

Jika tuduhan terbaru ini disabitkan, Strauss-Kahn boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Beliau dibebaskan dengan diikat jamin AS$135,000.

Pihak pendakwa raya berkata Strauss-Kahn tidak boleh berhubung dengan defendan, plaintif, saksi atau media berhubung kes ini.

Seramai lapan orang telah pun ditahan berhubung skandal "Carlton Affair".

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada Strauss-Kahn terlibat dalam rangkaian pelacuran dan penyalahgunaan dana korporat.

sinar harian/-

Tiada ulasan: