28 Mac 2012

Mawar terima RM9,390 setakat ini

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Sejak kisah adik Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2, menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit dipaparkan dalam Sinar Harian 23 Mac lalu, sumbangan orang ramai kepadanya meningkat kepada RM9,390 hingga petang semalam.

Bapanya, Farid Alsuwad Mohamed Maki, 34, berkata, keluarganya terharu dengan keprihatinan orang ramai kepada anaknya yang akan menjalani pembedahan pada 4 April nanti.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH dipermudahkan usaha mendapatkan dana bagi pembedahan anak saya.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang membantu dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga menghadapi ujian ini. Hanya ALLAH yang dapat membalasnya,” katanya.

Menurutnya, Mawar menunjukkan perkembangan positif dan tidak batuk lagi.

“Mawar akan dikuarantin sebelum dia dimasukkan ke hospital 2 April dan dijangka akan menjalani pembedahan pada 4 April nanti.

“Isteri saya, Sahida Ramli akan bercuti hari ini sehingga Mawar menjalani pembedahan,” katanya.

Beliau berharap, seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan pembedahan ini nanti dan berharap tiada sebarang komplikasi selepas pembedahan itu nanti.

Mawar memerlukan RM35,000 bagi membiayai kos pembedahannya di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: