28 Mac 2012

Lori sawit 40 tan terbalik

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH, Melaka - Seorang pemandu treler bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan apabila lori 40 tan muatan kelapa sawit yang dipandu terbalik di Durian Tunggal, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori dipandu lelaki berusia 30-an dari arah Kesang Pajak ke Banting, Selangor itu dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum terbalik ketika hendak membelok.

Pembantu ladang kelapa sawit di Kesang Pajak yang hanya ingin dikenal sebagai Ah Wong, 30-an berkata, lori itu bergerak dari ladangnya kira-kira jam 9 pagi.

“Ketika treler ini hendak membelok ke kiri menuju ke pekan Durian Tunggal, berlaku masalah pada brek hingga mengakibatkan treler ini gagal dikawal dan hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kanan.

“Kesemua muatan kelapa sawit terbalik di atas jalan dan bernasib baik ketika kejadian tiada kenderaan melalui jalan itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian berhubung sebuah treler muatan kelapa sawit yang terbalik berpunca daripada masalah teknikal atas kenderaan berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: