28 Mac 2012

PKR bantah bidaan baru tender NFC

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PKR hari ini membantah keras tindakan kerajaan mahu menjemput bidaan baru yang memilih kontraktor bagi mengambil alih operasi Pusat Fidlot Kebangsaan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bertujuan untuk menutup isu itu secepat mungkin tanpa mengambil kira langkah sebelum ini, termasuk pembekuan aset dan perlantikan audit bebas.

NONE"PKR berpendirian bahawa selagi segala persoalan bersabit pertanggungjawaban perdana menteri dan pegawai-pegawai tertinggi tidak disiasat dan dirungkai, kerajaan tidak boleh membuka bidaan baru kerana ini cubaan memadamkan kesalahan perdana menteri," kata Rafizi (kanan).

Katanya, persoalan pokok sebenarnya berhubung keterlibatan Datuk Seri Najib Razak yang menganugerahkan projek bernilai RM250 juta secara terus kepada National Feedlot Corporation (NFC) walaupun maklum ia tidak mempunyai pengalaman dan dimiliki keluarga menterinya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar semalam mengumumkan, kerajaan akan membuka tender projek itu bagi memastikannya berjalan lancar seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Bercakap dalam sesi penggulungan di Parlimen semalam, Noh berkata, kementerian juga melantik juruaudit bagi projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu.

Pembongkaran baru minggu depan

Noh bagaimanapun tidak menyebut sama ada keluarga menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kehilangan projek itu dan sama ada kerajaan akan mendapatkan semula pembayaran daripada pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan sebelum ini.

azlanDalam kenyataannya hari ini, Rafizi mempertikaikan operasi NFC yang terus berjalan walaupun asetnya diumum dibekukan oleh perdana menteri.

Malah, katanya, status audit bebas yang diumumkan juga masih tidak pasti bila akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Tindakan itu mencerminkan kecuaian perdana menteri dan memungkinkan berlakunya penyelewengan dan pecah amanah," kata Rafizi lagi.

"Perkara ini masih belum dijawab oleh perdana menteri. Malah, tindakan beliau mahu membuka bidaan baru jelas membuktikan hasrat beliau untuk menutup kesalahan beliau yang menganugerahkan kontrak kepada pihak yang tidak layak."

Justeru, Rafizi berkata, pihaknya akan terus membongkar isu itu bermula minggu depan.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: