28 Mac 2012

Jenayah: Mengapa enggan dakwa AG, bekas KPN?

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Keengganan kerajaan mendakwa Peguam Negara (AG) dan bekas Ketua Polis Negara (KPN) yang didakwa melindungi jenayah menunjukkan kerajaan seakan melindungi golongan yang berkepentingan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor berkata, mereka yang berprofil tinggi, berjawatan besar dan ada kedudukan tersendiri seolah-olah kebal dari sebarang tindakan undang-undang.

“Sebaliknya, jika rakyat bawahan yang didakwa terlibat, mereka pasti akan diseret ke muka pengadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, tegasnya DPPM menyokong gesaan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap AG dan bekas KPN atas dakwaan melindungi penjenayah untuk membersihkan nama polis dan juga jabatan kerajaan.

Ini kerana, ujarnya keengganan kerajaan mendakwa bekas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara akan lebih mencalarkan imej kerajaan di mata rakyat.

Beliau berkata, yang didakwa melindungi kumpulan kongsi gelap besar di negara ini pula bukan pegawai polis berpangkat rendah, tetapi bekas Ketua Polis Negara sendiri.

“Manakala tuduhan terhadap Peguam Negara pula menandakan bahawa badan perundangan negara sedang dikawal oleh kuasa lain sehinggakan kegiatan kongsi gelap juga boleh dilindungi dari tindakan undang-undang,” ujarnya.


Justeru, tambah beliau DPPM melihat jika kerajaan benar-benar mahu menjaga integriti institusi di bawahnya, kerajaan perlu bersikap telus dan adil dalam melaksanakan amanah mereka.

Beliau berkata, tahap kepercayaan rakyat perlu dikembalikan, dan antara langkah utama ialah mendakwa semua yang terlibat di muka pengadilan.

“Tidak ada gunanya pemimpin negara melindungi mereka yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan, kerana kredibiliti kerajaan akan terus dipertikaikan oleh rakyat,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: