28 Mac 2012

PR tak puas hati JK Parlimen perbaharui p'raya

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Pakatan Rakyat tetap tidak berpuas hati dengan perjalanan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya yang didakwa gagal menyelesaikan penipuan dalam daftar pemilih.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada jaminan segala cadangan pembaharuan pilihan raya yang dibuat jawatankuasa tersebut akan digunakan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat masih melahirkan bantahan keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sehingga sekarang belum dapat membersihkan senarai daftar pemilih walaupun pilihan raya umum semakin hampir.

"Nyata jawatankuasa ini hanya diberi ruang memanggil SPR kemudian ada ahli jawatnkuasa yang kemukakan bukti, kemudian SPR betulkan.

"Lebih serius tiada sebarang jaminan daripada kerajaan berkenaan perkara ini (senarai daftar pemilih) bahawa mereka akan laksana cadangan ini sebelum pilihan raya akan datang.

"Jadi Pakatan Rakyat akan tingkatkan kempen untuk dedahkan maklumat mengenai penipuan daftar pemilih," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh.

Harakah Daily

Tiada ulasan: