28 Mac 2012

Lima sahabat tipu Yayasan Terengganu

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lima rakan ‘sekampung’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan menipu Yayasan Terengganu (YT) dengan menggunakan surat tawaran kemasukan palsu bagi mendapatkan wang bantuan RM750, kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh iaitu Mohd Khairuddin Ab Wahab, 25; Mohamad Ibtisam Tamamulqamar Adnan, 23; Mohd Syafiq Abdul Wahab, 23; Mohd Hairul Azrie Jusof, 23, dan Mohd Farid Zulkepli, 21, masing-masing dari Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh iaitu Mohd Khairuddin didakwa memperdaya pihak YT dengan menggunakan surat tawaran kemasukan ke Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia yang palsu bagi mendapatkan wang bantuan disediakan YT sebanyak RM750.

Mohd Khairuddin didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 30 Jun 2009 kira-kira jam 12 tengah hari di Bangunan YT, Jalan Sultan Ismail.

Dua lagi tertuduh iaitu Mohamad Ibtisam Tamamulqamar dan Mohd Syafiq didakwa melakukan kesalahan sama di tempat sama, kira-kira jam 4 petang pada 1 Jun 2009.

Bagi kesalahan tersebut, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Rozianti kemudiannya membenarkan Mohd Khairuddin diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Manakala bagi dua lagi rakannya, Mohamad Ibtisam Tamamulqamar dan Mohd Syafiq, Majistret Rozianti menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasi­ngan, dua lagi rakan mereka, Mohd Hairul Azrie Jusof, 23, dan Mohd Farid Zulkepli, 21, didakwa melakukan kesalahan sama di alamat sama, masing-masing pada 3 Jun 2009 kira-kira jam 3.30 petang dan pada 9 Jun 2009, kira-kira jam 11 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hada­pan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Abdul Hayyi seterusnya menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500.

Sinar Harian

Tiada ulasan: