18 April 2012

BN resah pemimpin utama Pakatan tanding di Johor

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 April: Walaupun masih di peringkat khabar angin, Barisan Nasional (BN) terutama MCA sudah menggeletar apabila pemimpin popular PAS dan DAP akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, PAS mengumumkan naib presidennya, Salahudin Ayub akan bertanding di Johor, kini akhbar Cina mula memainkan isu pemimpin kanan DAP pula akan bertanding di Johor.

Akhbar Sin Chew pada 16 April melaporkan bahawa terdapat desas-desus penasihat DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang akan bertanding di Johor sebagai langkah strategik untuk menumbangkan kubu kuat Barisan Nasional di negeri selatan itu.

Selain itu, laman web The Malaysian Times turut melaporkan perkara yang sama bahawa Lim kemungkinan besar bertanding di Kulai atau Labis, kedua-dua kerusi MCA yang kini disandang bekas presiden MCA Ong Ka Ting dan anak presiden kepada presiden MCA kini, Chua Tee Yong.

Bukan itu sahaja, ahli parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan yang digeruni di parlimen dan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching turut dikatakan akan bertanding di Johor atas faktor keluarga. Suami Fong adalah setiausaha DAP Johor, Tan Chen Choon manakala Teo sememangnya berasal dari Batu Pahat.

Perkembangan ini telah menakutkan MCA dan sebagai langkah awal, MCA Perak telah mengganggap khabar angin itu seolah-olah betul dan mengeluarkan kenyataan mengecam hasrat para pemimpin DAP terbabit walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mereka untuk mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di Johor.

“Laporan di Sin Chew Daily (16 Apr 2012) bahawa pemimpin DAP Lim Kit Siang telah berkata bahawa beliau akan bertanding kerusi di Johor pada pilihan raya umum yang akan datang dan DAP secara semula jadinya mempunyai sokongan berterusan daripada rakyat tanpa mengira keadaan adalah bukti keangkuhan mereka.

"Mereka telah mengambil ringan sokongan pengundi dan menganggap pemikiran rakyat sebagai permainan kanak-kanak. Ia adalah jelas bahawa DAP merasakan bahawa rakyat berkewajipan untuk menyokong mereka dalam mana-mana bahagian yang mereka bertanding dalam pilihan raya umum,” kata Setiausaha MCA Perak Datuk Tan Chin Meng dalam satu kenyataan.

Tan turut menyelar DAP, yang dikatakan lupa diri selepas kejayaan pada pilihanraya umum ke-12, dan mula menunjukkan belang dengan menganggap diri mereka boleh menang mudah di mana-mana kerusi yang mereka ingin bertanding.

Tan berkata pemimpin DAP yang digembar-gemburkan ingin bertanding di Johor tidak pernah menyumbangkan apa-apa di negeri itu tidak layak bertanding di Johor.

“Saya berharap rakyat Johor akan berfikir tentang ini dengan sebaiknya. Pengundi hari ini lebih bijak. Rakyat akan memberikan sokongan kepada mereka yang pernah berkhidmat pada negeri dan bukannya kepada selebriti ahli politik yang hanya bertindak apabila ada isu hangat,” kata beliau.

Para penganalisa politik Harakahdaily berpendapat langkah yang diambil DAP itu adalah amat wajar diteliti kerana Umno Johor mula goyah dengan kepulangan naib presiden PAS Salahuddin Ayub, yang mengesahkan akan bertanding di Johor kali ini.

"Jika ada dua tiga lagi jeneral perang daripada PAS dan PKR turut mengikuti jejak DAP untuk bertarung di Johor, BN akan terasa betul-betul terancam pada PRU13 kerana sekiranya Johor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kemungkinan besar Putrajaya juga akan terlepas daripada tangan Umno," kata mereka.

Harakah Daily

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sekali air bah sekali pantai berubah....kah...kah...kah...!

Tanpa Nama berkata...

dah lama sgt dah bagi lah peluang pd PR pulak mentadbir negara ala hai 5 thn aje tak lama lps tu kalau PR ingat nak bagi balik pd BN dia bagi lah kalau tak tunggu lah sampai kucing bertanduk..hahahaha skali dah jatuh ke tgn PR jgn harap lah BN nak dapat balik krn PR memerintah dgn ketelusan dan amanah.