21 Mei 2012

Sebelum muzakarah, bersih p'raya dahulu - Presiden PAS

29 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING: Umno perlu tunjukkan komitmen dan keikhlasan dalam merealisasikan pilihan raya yang bersih dan adil sebelum bermuzakarah dengan PAS. (Abdul Hadi berucap di depan lebih 5,000 hadhirin)

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berkata, muzakarah tiada makna jika pilihan raya di negara ini kotor dan belum dipulihkan.

“Muzakarah tiada makna jika pilihan raya tidak bersih,” katanya kepada Harakahdaily selepas pengisytiharan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini malam tadi.

Katanya, isu muzakarah ini hanya dimainkan untuk menutup isu kebangkitan dan suara rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 yang lalu.

Ustaz Hadi menjelaskan, Umno perlu tumpu pada agenda asal iaitu merealisasikan lapan tuntutan bersih yang penting untuk masa depan negara.

“Mereka cuba tutup isu tuntutan pilihan raya bersih kerana mereka tahu ianya akan mengancam kedudukannya untuk terus berkuasa,” ujarnya.

Sebelum itu, Ustaz Hadi menerima permohonan menjadi ahli PAS daripada bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari.

Lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat menyaksikan pengisytiharan yang bersejarah itu.

Hadir sama di majlis itu adalah Timbalan Presiden PAS, Tn Hj Mohammad Sabu, Ketua Penerangan yang juga Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain.

Harakah Daily

Tiada ulasan: