9 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendesak perdana menteri turut memohon maaf di atas kenyataan ahli parlimen BN yang membangkitkan persoalan sama ada Datuk S Ambiga perlu digantung kerana menderhaka.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Bersih mendakwa, Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab di atas 'keceluparan' Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamad Aziz yang membangkitkan perkara itu yang turut disokong Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah.
"PM boleh memilih sama ada tidak mengambil peduli dan melihat sahaja kempen membenci pemimpin Bersih 2.0.
"Sejarah akan merekodkan sikap berdiam diri beliau kali ini sebagai penambahan kepada tuduhan 'demokrasi palsu' oleh wartawan Canada Mark Mackinnon," katanya.
Semalam Mohamad Aziz menarik balik kenyataan yang dibuat pada hari Selasa lalu di mana beliau bertanya sama ada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga perlu digantung kerana menderhaka.
Penarikan balik kenyataannya itu dibuat jika ia menyinggung perasaan pemimpin rakan-rakannya dari MIC atau PPP.
Mengulas lanjut perkara itu, Bersih 2.0 mendakwa alasan penarikan balik kenyataan oleh Mohamad itu hanya menunjukkan sikap angkuh ahli parlimen itu yang seharusnya perlu juga memohon maaf terhadap Ambiga.
Sehubungan itu, mereka tetap mendesak Najib bertanggujawab untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua ahli parlimen Umno itu dan memohon maaf kepada Ambiga serta 250,000 rakyat yang menyertai Himpunan Bersih 3.0.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan