29 Jun 2012

Misteri bau busuk terungkai

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

KLUANG - Misteri bau busuk di belakang sebuah warung tidak bernombor di Kampung Baru, di sini, membawa kepada penemuan bungkusan plastik berwarna merah yang mengandungi serpihan tulang dipercayai bayi yang ditanam di kawasan terbabit, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah ke tempat kejadian setelah mendapat
laporan daripada orang awam yang terhidu bau busuk di belakang warung berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tanah yang ditimbus di lokasi terbabit sebelum bertindak menggalinya.

“Polis menjumpai bungkusan plastik merah yang di dalamnya berisi tengkorak dan tulang yang telah reput dipercayai manusia.

“Hasil laporan siasat yang diterima daripada pakar patalogi di Johor Bahru mendapati serpihan tulang tersebut adalah bayi yang baru dilahirkan danmayat bayi tersebut sudah ditanam dua bulan yang lalu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Kluang, semalam.

Berikutan maklumat dan siasatan yang dilakukan katanya, polis menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai ibu kepada bayi malang terbabit.

Beliau berkata, remaja terbabit masih direman hingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan boleh
dikenakan penjara sehingga dua tahun.

Katanya, polis juga mendapati remaja yang sudah tidak bersekolah dan tinggal bersama bapanya itu pernah membuat laporan di balai polis kerana mendakwa dirinya dirogol.

“Pada masa ini pasukan dari Jabatan Patalogi dan polis masih membuat siasatan ke atas suspek sama ada bayi yang baru dilahirkan itu ditanam dalam keadaan hidup ataupun sudah mati sewaktu dilahirkan,” katanya.

Abdul Majid berkata, polis kini juga sedang mengesan teman lelaki remaja terbabit bagi membantu siasatan.

“Jika dilihat dalam rekod jenayah, kes seumpama ini adalah kes pertama berlaku di Kluang dan berharap kes tersebut tidak akan berulang lagi di sini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: