29 Jun 2012

Tak sempat nikmati sarapan

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

MELAKA TENGAH - Hasrat seorang warga emas mahu menikmati sarapan pagi di sebuah warung berhampiran rumahnya tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah motosikal, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Haron Osman, 83, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang berjalan kaki dirempuh dirempuh ketika mahu melintas jalan ke warung berkenaan, yang terletak kira-kira 150 meter dari rumahnya di Kampung Pulau Samak, berhadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, di sini.

Anak saudara mangsa, Yaakub Gantang, 42, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh pekerja warung makan terbabit.

“Pekerja terbabit berlari ke arah saya sambil menjerit memberitahu bapa saudara saya yang masih bujang dilanggar ketika sedang melintas jalan.

Kebetulan saya berada tidak jauh dari situ. “Semua orang di kawasan berkenaan memang kenal dengan arwah yang sudah menjadi rutin hariannya bersarapan di gerai berkenaan setiap pagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa dirempuh motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Abdul Hafiz Yahya, 19.

“Remaja terbabit yang datang dari arah simpang lampu isyarat Taman Sutera Wangi menuju bulatan Batu Berendam cuba membrek namun gagal kerana jarak mangsa yang terlalu dekat.

“Abdul Hafiz yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: