9 Syaaban 1433H. [MOD] -
RANTAU PANJANG – Seorang peniaga di sini, berdepan kerugian kira-kira RM300,000, setelah khemah menempatkan barangan jualannya diterbangkan angin dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam Selasa lalu.
Kejadian ketika hujan lebat itu menyebabkan karpet, bingkai gambar dan pelbagai barangan jualan terpaksa dilelong, untuk mengelak mangsa berdepan kerugian lebih besar.
Alimudin Musa, 46, berkata, ketika itu dia dan enam pekerja berada di khemah terbabit kerana mereka beroperasi sehingga malam.
Menurutnya, hujan turun dengan lebat diikuti angin kencang, dan secara tiba-tiba enam khemah menempatkan lebih 4,000 karpet serta pelbagai barangan rumah yang lain diterbangkan angin.
“Kesemua barangan yang ditempatkan di khemah basah, menyebabkan kami terpaksa melelongnya dengan harga murah bagi mengelakkan kerugian lebih besar.
“Walaupun enam khemah diterbangkan angin, saya bersyukur kesemua enam pekerja yang berada di khemah ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Alimudin berkata, dia akan melelong kesemua barangan yang terkena hujan dalam tempoh 10 hari.
Menurutnya, kejadian dua hari lalu merupakan bencana ketiga berlaku ke atas dirinya, dan yang kedua di lokasi yang sama. “Saya berharap orang ramai yang sedang membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri, dan ingin mendapatkan barangan pada harga murah boleh berkunjung ke premis kami.
“Setakat ini sambutan begitu memberangsangkan, memandangkan harga yang kami tawarkan agak jauh berbeza dengan harga asal, untuk memastikan barangan yang terkena hujan habis dijual dalam masa terdekat dan orang ramai harus ambil peluang ini,” katanya.
Sinar Harian
1 ulasan:
lelong lelong!!!!!!
Catat Ulasan