29 Jun 2012

Kapal angkasa China Shenzhou-9 cipta sejarah kembali ke bumi

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

BEIJING - Pesawat angkasa lepas China, Shenzhou-9, yang mencatatkan sejarah termasuk dengan membawa angkasawan wanita pertama, kembali ke bumi pagi ini selepas misi selama 13 hari.

Imej siaran televisyen menunjukkan kapsul yang membawa ketiga-tiga angkasawan mendarat di Inner Mongolia pada jam 10.05 pagi tadi waktu tempatan (10.05 pagi waktu Malaysia).

Laporan media sebelum ini menyebut mereka berjaya melabuhkan pesawat secara manual pada modul makmal Tiangong-1 dan menjalankan siri uji kaji.

Misi itu dilihat langkah penting bagi China mencapai matlamatnya membina stesen angkasa lepas menjelang 2020. Shenzhou-9 adalah kapal angka lepas China yang membawa manusia pertama berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong-1.

China melancarkan kapal angkasanya dengan misi membawa angkasawan wanita pertama ke angkasa lepas pada jam 6.37 petang, 16 Jun lalu.

Sebelum ini misi angkasa lepas dikuasai oleh Rusia dan Amerika Syarikat. Shenzhou-9 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di wilayah Gansu.

Misi selama 10 hari itu diketuai oleh angkasawan Jing Haipeng yang mempunyai pengalaman ke angkasa lepas sebanyak dua kali bersama Liu Wang dan angkasawan wanita pertama, Liu Yang, 33 tahun.

"Percubaan untuk melabuhkan kapal angkasa secara manual merupakan ujian terbesar buat kami, lebih-lebih lagi untuk memastikan jarak dan posisi yang tepat," kata Haipeng sebelum ini.

Kejayaan Liu Yang terpilih sebagai angkawasan pertama negara ini mendapat perhatian menyeluruh daripada pelbagai pihak dan beliau bertanggungjawab untuk melakukan eksperimen perubatan aeroangkasa.

Misi Liu Yang akan menjadikan China sebagai negara ketiga di belakang Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat yang menghantar angkasawan wanitanya menggunakan kecanggihan teknologi sendiri.

Sinar Harian

Tiada ulasan: