9 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU: Anehnya ada pihak mendakwa terdapat laporan polis mengenai penyelewengan membabitkan pegawai Kelantan Golden Trade (KGT) sejak Januari lalu, namun sehingga sekarang tiada pegawai di syarikat berkenaan disiasat.
Lebih pelik pula laporan polis itu didakwa dibuat Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad. Beliau hanya meletak jawatan pada 17 Mei lalu.
Laporan media sebelum ini menyebut laporan polis dibuat Nik Mahani berhubung salah laku membabitkan seorang pegawai kanan KGT.
Ketika itu juga pegawai kanan di KGT hanya Nik Mahani, kerana Prof Umar Vandillo hanya bertindak sebagai penasihat syarikat berkenaan sejak Disember 2011.
Nik Mahani juga merupakan seorang daripada lapan lembaga pengarah KGT.
Pengurus Besar KGT, Mahadi Mokhtar berkata, biar pun dakwaan polis dilapor dibuat pada 31 Januari lalu, namun sehingga hari ini tiada pegawai atau kakitangan di KGT disiasat.
“Kebiasaannya kalau ada laporan polis pastinya ada siasatan dilakukan. Pihak polis juga tidak menghubungi kami sampai sekarang. Jadi kita hairan bagaimana ada pihak mendakwa ada laporan polis dibuat terhadap pegawai KGT.
“Ini menjadi satu persoalan, mungkin laporan akhbar sebelum ini semata-mata mahu memburukkan imej KGT yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat sekarang,” katanya di sini.
Sebelum ini akhbar milik Umno mendakwa polis sedang menyiasat tiga laporan polis terhadap pegawai kanan KGT yang mengeluarkan Dinar dan Dirham Kelantan.
Laporan itu mendakwa kononnya KGT berdepan dengan kemelut salah laku seorang pegawai kanan.
Mahadi juga berkata, berdasar siasatan audit dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan PMBK) tidak ditemui sebarang penyelewengan urus tadbir atau kewangan anak syarikatnya, KGT.
Katanya, kalau benar ada penyelewengan dan salah urus sudah tentu ditemui dalam laporan audit dalaman dan luaran yang dibuat sebelum ini.
“Jadi kita tidak tahu di mana asas didakwa berlaku penyelewengan membabitkan KGT kerana pihak polis pun belum datang menemui kami.
“Kita bimbang isu sengaja ditimbulkan kerana konflik individu tertentu sahaja dan cuba melepaskan perasaan terhadap KGT dengan mencipta tuduhan,” ujarnya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan