29 Jun 2012

Polis cari 11 lelaki

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEGAMAT - Polis daerah ini mencari 11 lelaki bagi membantu dan melengkapkan siasatan kes pergaduhan yang dilaporkan berlaku pada 21 Jun, lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, dalam kejadian sekitar jam empat pagi itu, beberapa lelaki telah bergaduh di tempat letak kereta Jalan Kekwa, di sini.

Menurutnya, akibat pergaduhan itu, tiga lelaki cedera di bahagian badan dan tangan dipercayai terkena besi serta sabit yang digunakan semasa kejadian.

“Setakat ini, polis sudah menahan sembilan lelaki, manakala, 11 lagi masih dicari bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 33 tahun dan telah direman selama empat hari berakhir hari ini (semalam) untuk disoal siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas berkaitan kes tembakan terhadap seorang pemandu trak tunda di Segamat Baru, 22 Jun lalu.

Hanafi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada hubung kait dengan kes pergaduhan tersebut.

“Dalam kes tembakan itu, kita difahamkan suspek menggunakan pistol jenis Revolver untuk menembak mangsanya, namun ia masih lagi dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, semua lelaki yang dicari dipercayai adalah orang tempatan. Hanafi berkata, beliau meminta kerjasama awam yang mengenali atau mempunyai maklumat 11 individu yang dicari ini agar menghubungi hotline rasmi IPD Segamat di talian 07-9324222

Sinar Harian

Tiada ulasan: