29 Jun 2012

Warga emas terpedaya serah wang tunai, subang emas

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

BANDAR MARAN - Bermodalkan kata-kata manis dan tawaran bantuan RM15,000, seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘orang pejabat’ berjaya memperdaya seorang warga emas dengan meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM300 dan sepasang subang emas.

Namun, wanita berusia 42 tahun yang kemas berpakaian baju kurung itu berputih mata apabila diberkas sepasukan anggota polis kira-kira 10 minit selepas dia memulangkan kembali wang tunai dan subang milik mangsa.

Mangsa, Yang Minah Osman, 72, berkata, dia yang tinggal sendirian di Kampung Senggora, dekat sini, didatangi wanita itu pada jam 11 pagi dan memperkenalkan diri sebagai ‘orang pejabat’ sebelum bertanyakan mengenai wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurutnya, wanita itu kemudiannya memaklumkan bahawa penerima BR1M akan menerima bantuan lanjutan daripada kerajaan sebanyak RM15,000. “Tapi dia beritahu mak cik perlu buka buku akaun bank kerana wang bantuan itu kan dimasukkan terus ke akaun terbabit.

“Dia tawarkan diri untuk tolong buka akaun baru itu dan minta RM300 sebagai wang pendahuluan. Kemudian dia tanyakan pula mengenai barang kemas dan mak cik beritahu, mak cik cuma ada subang sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.


Mangsa dakwa dipukau

YANG MINAH berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum kedatangan wanita itu, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumahnya bagi menyerahkan surat bantuan warga emas yang diterima setiap bulan.

Katanya, tanpa membantah dan mendakwa seperti dipukau, dia menyerahkan wang tunai RM300 dan sepasang subang di telinga kepada wanita terbabit yang selepas itu meminta diri dengan alasan mahu segera masuk pejabat.

“Dia beritahu akan datang semula jam 6 petang selepas menyelesaikan urusan membuka buku akaun baru. “Wanita itu menghilangkan diri dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna merah dipandu seorang lelaki yang hanya menunggu di luar rumah,” katanya.

Yang Minah berkata, selepas mengiringi wanita itu, dia ke kedai runcit berdekatan milik anak saudaranya lalu menceritakan khabar berita mengenai bantuan RM15,000 tersebut.

Menurutnya, anak saudaranya terkejut dengan perkara itu dan memberitahu dia sebenarnya menjadi mangsa pukau. “Mak cik pulang ke rumah dalam keadaan keliru dan tidak lama kemudian, wanita berkenaan datang semula untuk menyerahkan kembali wang RM300 dan subang kepada mak cik.

“Dia beri alasan pembukaan buku akaun baru tidak boleh dilakukan jika pemilik akaun tiada bersama,” katanya.


Pengamal perubatan tawar bantuan

ANAK mangsa, Halias Abdul Aziz, 48, berkata, kejadian yang menimpa ibunya itu diketahui selepas dihubungi anak saudaranya ketika dia sedang berjumpa seorang pengamal perubatan Islam untuk bertanyakan rawatan berhubung masalah dihadapi isterinya.

Menurutnya, pengamal perubatan Islam itu menawarkan diri untuk membantu selepas terdengar tanpa sengaja perbualan telefon bersama anak saudaranya.

“Dia minta saya dapatkan air masjid (kolah) bagi tujuan perubatan dan menjejaki orang yang melakukan pukau terhadap ibu saya. “Kemudian, kami ke rumah ibu saya dan dimaklumkan wanita yang memukau ibu saya baharu sahaja beredar selepas menyerahkan kembali wang tunai dan subang yang diambil.

Saya bergegas ke jalan utama dan berjaya memintas kenderaan dinaiki wanita berkenaan di simpang masuk Lubuk Paku,” katanya. Halias berkata, bagi melengahkan masa sementara menunggu ketibaan anggota polis, dia berbual-bual dengan wanita terbabit dengan meyakinkan bahawa ada rakan berminat untuk melakukan urusan perniagaan.

Dua suspek direman tiga hari SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shabudin berkata, pihaknya berjaya memberkas dua suspek berhubung kejadian itu selepas menerima maklumat daripada anak mangsa. Menurutnya, kedua-dua suspek anak-beranak berusia 42 dan 26 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: