9 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Tidak sempat menghabiskan masa berhibur di Genting Highland, tiga lelaki dan dua wanita Geng Hong ditahan kerana terlibat dalam kes pecah rumah dan samun kereta yang aktif sejak April lalu.
Mereka ditahan pada 8 Jun lalu dan pihak polis turut merampas lima kereta, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, kamera dan alatan pecah rumah.
Susulan tangkapan tersebut, polis menahan dua lagi lelaki ahli kumpulan itu pada 14 Jun lalu di Cheras. Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, hasil tangkapan, polis berjaya menyelesaikan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Cheras, Brickfields, Kajang dan Gombak.
Menurutnya, lima jenis kereta yang dirampas adalah BMW, Honda, Proton Savvy dan Oddesey dan menganggarkan nilai rampasan sebanyak RM500,000.
“Mereka ini memecah masuk rumah mangsa dan akan membawa lari kereta sebelum dijual. Kita percaya mereka pernah terlibat dalam kes jenayah dan siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, semalam.
Sementara itu, Mohan berkata, berikutan kes curi kenderaan yang semakin meningkat di Cheras, pihaknya melancarkan Ops Lejang sejak 18 Jun lalu.
Menurutnya, 3,052 orang ditahan hasil pemeriksaan ke atas 1,637 motosikal, 745 kereta, 94 lori dan enam bengkel.
Beliau berkata, empat kereta, 16 motosikal dan dua van dirampas kerana dipercayai kenderaan curi.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan