29 Jun 2012

Penternak rugi RM120,000

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang penternak lembu tenusu terpaksa berputih mata dan mengalami kerugian kirakira RM120,000 setelah seekor demi seekor ternakannya mati disyaki terkena jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD), selepas menerima lima ekor lembu pada program khas.

Saravana Kumar, 36, berkata, pada awal Mac lalu dia menerima lima lembu betina daripada jabatan berkenaan sebagai usaha untuk menambah pengeluaran susu negara.

Namun, dua hari kemudian seekor demi seekor lembunya mati dipercayai dijangkiti FMD.

“Selama tiga tahun saya menternak lembu jenis Thailand dan Australia ini, belum pernah ternakan mati dijangkiti FMD. Malah, sentiasa peka dengan ubatan yang diberi,” katanya.

Saravana mendakwa, dia menyedari ternakannya dijangkiti FMD selepas mencampurkan lembu bantuan berkenaan dengan ternakannya di dalam kandang yang sama.

“Semua lembu saya sihat kerana setiap hari saya akan membuat pemantauan, namun dua hari selepas menerima saya lihat seekor lembu saya lemah.

“Saya lihat hingus pada hidung juga meleleh hingga lembu kelihatan tidak selesa malah hanya makan dalam kuantiti yang sangat sedikit sehingga menjadikan ia terlalu kurus dan mati,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan, 13 lembunya mati manakala enam lembunya mengalami keguguran dan menunggu masa untuk mati sahaja.

“Akibatnya, hasil pengeluaran susu juga merosot daripada 180 kilogram sehari kepada 48 kilogram sahaja,” katanya.

Katanya, laporan dan aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan, namun hingga kini masih tiada tindakan dilakukan.

“Saya kesal dengan sikap pihak berkenaan yang lepas tangan. Saya terima atas niat membantu peningkatan hasil susu namun ini yang saya terpaksa terima,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan berkenaan dan menyerahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin, ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan maklumat yang disampaikan tidak tepat.

“Pihak kami akan menyiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: