29 Jun 2012

Lori terbalik akibat 'kejar' lampu hijau

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

MARANG – Tindakan seorang pemandu lori dipercayai memandu secara berbahaya kerana 'mengejar' lampu hijau membawa padah apabila dia gagal mengelak lalu merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah Perodua Kancil di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, di persimpangan lampu isyarat Batu 9, Jalan Kuala Terengganu Ke Kuala Berang di sini, pemandu lori terbabit, Mohd Alias, 45, dan seorang kelindannya terperangkap di bahagian tempat duduk hadapan apabila kenderaan itu terbalik.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pemandu lori itu dalam perjalanan untuk menghantar barang ke kedai runcit sekitar Kuala Berang. Pemandu lori terbabit dikatakan membawa lori dengan laju, namun sebaik lampu isyarat bertukar merah, dia dikatakan gagal untuk mengawal kenderaan lalu bertindak melencong secara melulu ke laluan kanan menuju ke Lebuhraya Pantai Timur.

Kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius manakala pemandu kenderaan empat pacuan roda, Chang Teck Seng, 58, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Dalam pada itu, pemandu Perodua Kancil, Aswad Yahya, 21, dan seorang penumpang berumur 24 tahun cedera ringan di bahagian dahi. Kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan itu turut menyebabkan lalu lintas terganggu selama 15 minit.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Gantung je lesen pemandu lori tu