16 Syaaban 1433H. [MOD] -
GONG PASIR – Seorang buruh berkemungkinan berdepan hukuman gantung jika disabitkan kesalahan memiliki dadah selepas ditahan polis narkotik di sini, pagi kelmarin.
Suspek, 48 dari perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tanjung Pagar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik diketuai Inspektor Wahid Sujani kira-kira jam 9.20 pagi di hadapan sebuah rumah di Gong Pasir.
Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek dikatakan bertindak melemparkan satu beg sebelum polis berjaya menahannya.
Bagaimanapun pemeriksaan ke atas beg terbabit dipercayai miliknya menemui beberapa kotak rokok yang mengandungi botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
Turut ditemui 200 pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut sebelum ditahan reman mengikut 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan siasatan terperinci dilakukan ke atasnya.
Jika bukti mencukupi, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk membolehkan suspek dituduh di mahkamah atas kesalahan memiliki dadah berbahaya itu.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan