06 Julai 2012

Terengganu mengamuk, belasah Sarawak 6-1

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Tewas pada perlawanan pembukaan Rabu lalu, Terengganu hari ini bangkit dengan semangat baru apabila membenam Sarawak 6-1 pada perlawanan peringkat kumpulan temasya Sukan Malaysia ke-15 di padang Majlis Perbandaran Kuantan di sini.

Juara bertahan itu mempamer aksi garang dengan asakan-asakan berbisa khususnya menerusi kapten pasukan Muhammad Fakhrurazi Musa dan Mohd Fahmi Izzudin Mohd Zaki.

Mohd Fahmi Izzudin menyumbat gol sulung Terengganu pada minit ke-29 diikuti tujahan Mohd Faidzol Fazreen Shamsuddin pada minit ke-36 menjadikan kedudukan 2-0.

Sarawak bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-41 apabila sepakan penalti oleh Maxwell Boly Uchigol tepat ke dalam gol Terengganu.

Namun, gol itu gagal membendung kemaraan skuad Penyu yang sekali lagi meledakkan gawang Sarawak menerusi Mohd Fahmi Izzudin sejurus sebelum berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu meneruskan pesta gol menerusi Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-47, Muhammad Fakhrurazi (minit ke-54) dan

Muhammad Amirul Syahmi Ash'ari (minit ke-63), dengan kedudukan tamat masa perlawanan 6-1.

Mengulas kemenangan itu kepada Bernama kemudian, Mohd Fakhrurazi berkata, beliau dan rakan-rakan mendapat motivasi baru selepas tewas 0-3 pada pasukan tuan rumah Pahang kelmarin.

"Kali ini kami turun dengan moral yang lebih tinggi, untuk menebus kekalahan dengan Pahang, dan juga untuk memastikan Terengganu akan mempertahankan kejuaraan," katanya.

Beliau berkata, Terengganu juga tidak boleh leka dan harus sentiasa bersedia dalam setiap perlawanan meskipun menentang lawan bukan pasukan pilihan.

"Semua pasukan kami anggap hebat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Terengganu," katanya.

Perlawanan peringkat kumpulan acara bola sepak berlangsung sehingga Ahad ini bagi memilih lapan pasukan terbaik untuk berentap dalam pusingan suku akhir pada Selasa depan. – Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: