16 Syaaban 1433H. [MOD] -
YONG PENG – Empat lelaki berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah pusat urut sebelum bertindak menyamun premis berkenaan dalam kejadian pada jam 5.45 petang, 13 Jun lalu.
Kumpulan suspek yang bersenjatakan parang dan menjadikan pusat-pusat urut sebagai sasaran mereka juga bertindak mengikat pekerja premis terbabit.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, premis berkenaan mempunyai empat pelanggan dan enam yang lain adalah pekerja di premis itu.
Menurutnya, premis terbabit kemudiannya didatangi empat penjenayah yang mengeluarkan parang sebelum mengikat kesemua mereka di bahagian belakang premis berkenaan.
“Penjenayah terbabit menyamun barang kemas yang dipakai pekerja dan pelanggan, wang tunai RM10,000, komputer riba dan kamera milik premis berkenaan yang kesemua berjumlah RM30,000,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Yong Peng, di sini, semalam.
Din berkata, hasil siasatan polis, pihaknya dapat menahan tiga daripada empat suspek di rumah sewa mereka di Johor Bahru pada 22 Jun lalu.
Katanya, dua daripada suspek berasal dari Johor Bahru, manakala seorang lagi suspek berasal dari Kulaijaya dan mereka berumur di antara 20 hingga 25 tahun.
“Hasil tangkapan itu, kami berjaya menemui parang yang dipercayai dijadikan senjata ketika menyamun, selain merampas komputer riba dan kamera.
“Kami juga percaya dengan tertangkapnya suspek ini, tujuh kes samun di tiga daerah berjaya diselesaikan.
“Keempat-empat suspek itu kini di bawah tahanan reman polis sehingga dan hasil maklumat awal mendapati mereka aktif melakukan kegiatan samun di Yong Peng, Johor Bahru dan Segamat,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan