06 Julai 2012

25 pelajar keracunan makanan

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Seramai 25 pelajar di sebuah sekolah kebangsaan, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Port Dickson setelah mengalami keracunan makanan disyaki selepas menikmati makanan nasi ayam dalam satu program di sebuah sekolah di Pasir Panjang, kelmarin.

Difahamkan, kesemua pelajar tahap dua sekolah tersebut tiba di klinik dengan dihantar oleh guru selepas mereka mengadu sakit perut ketika sesi pembelajaran di sekolah, semalam.

Salah seorang bapa pelajar berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak sekolah mengatakan anaknya dibawa ke klinik selepas mengalami cirit-birit kerana keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan anak saya mengalami sakit perut. “Malam tadi (semalam) anak saya ada juga mengadu sakit perut, namun saya fikir ia sakit biasa sahaja dan hanya menyuruhnya berehat, namun tidak menyangka ia akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Port Dickson, semalam.

Seorang pelajar pula mendakwa, dia makan nasi ayam namun tidak tahu sama ada sudah basi ataupun tidak. “Ketika itu, saya lapar dan hanya makan begitu juga dengan rakan-rakan lain,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di klinik berkenaan mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat sambil ditemani guru dan ibu bapa.

Kesemua pelajar terbabit bagaimanapun dilihat meninggalkan klinik selepas kira-kira dua jam kemudian. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, semua pelajar yang terlibat berada di dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat punca kejadian ini kerana ia adalah sesuatu perkara yang serius dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Ismail turut memberi amaran kepada pengusaha kantin sekolah dan mana-mana pengusaha makanan agar memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar atau pelanggan sentiasa bersih.

“Kita mempunyai undang-undang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut dan mereka yang didapati bersalah tidak akan terlepas,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: