16 Syaaban 1433H. [MOD] -
TAMPIN – Laluan trafik menghala ke Seremban di persimpangan lampu isyarat Bandar Tampin sesak apabila satu lorong terpaksa ditutup kira-kira tiga jam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja mengalihkan kontena muatanpapan seberat 23 tan yang terjatuh di lokasi itu, petang kelmarin.
Dalam kejadian 5.30 petang itu, dua kren diperlukan bagi mengalihkan kontena itu dan meletakkannya semula di atas lori kontena lain dari syarikat sama di Gemas.
Pemandu lori berkenaan, Ahmad Jalaluddin Shaari, 54, berkata, dia bagaimanapun lega kerana tiada kenderaan berada di sebelah kiri lori berkenaan ketika kejadian berlaku.
“Saya seperti biasa membawa lori kontena muatan papan dari Gemas sekitar jam 4 petang ke Sungai Way, Selangor dan sebaik tiba di lokasi ini bahu lori sebelah kiri depan patah sekali gus menyebabkan kontena jatuh ke sebelah kiri.
“Mula-mula saya takut sekiranya terkena orang atau pengguna jalan raya yang lain, namun bersyukur kerana tiada kecederaan cuma laluan terpaksa ditutup seketika,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, petang kelmarin.
Kerja-kerja mengalihkan kontena itu terpaksa menggunakan dua kren bermula jam 7.50 malam dan selesai kira-kira 8.30 malam susulan terpaksa dirancang dengan teliti.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kontena yang dibawa mangsa terjatuh di persimpangan lampu isyarat Bandar Tampin dipercayai selepas bahu lori sebelah kiri patah.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan