16 Syaaban 1433H. [MOD] -
KETIADAAN kelibat wonderkid Malaysia, Nazmi Faiz dalam skuad Harimau Muda A yang memulakan cabaran bersama kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar sedikitpun tidak menjejaskan persiapan skuad kendalian Ong Kim Swee mengharungi pusingan kedua Liga Singapura (Liga S) 13 Julai ini.
Bakal menentang Tanjong Pagar United FC Jumaat depan, Kim Swee kini tekad untuk mengalih tumpuan pasukannya dalam menebus kekecewaan tewas mengejut 1-2 kepada Myanmar ketika saingan Kelayakan Piala AFC B-22 di Yangon Selasa lalu.
"Meskipun Nazmi sudah tidak beraksi bersama skuad negara, namun dengan kehadiran pemain pertahanan kanan yang juga kapten pasukan, Mahali Jasuli serta Mohd Affize Faisal Mamat yang tidak dapat bersama ketika Kelayakan Piala AFC B-22 lalu, saya pasti kami mampu mencapai sasaran kejuaraan dalam meneruskan saingan liga," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menyifatkan kejayaan menewaskan lawan sama 3-0 dalam pusingan pertama Mac lalu adalah permulaan yang baik buat pasukannya, Kim Swee bagaimanapun enggan mendabik dada dan menasihatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah dengan keupayaan skuad kendalian T Pathmanathan yang kini menduduki tangga ke-10 liga.
"Kita mungkin mempunyai sedikit kelebihan dari segi pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan juga program latihan di luar negara, namun begitu, masa boleh merubah segalanya. Oleh itu kami perlu lebih fokus dan tidak terlalu mengambil mudah dengan kemampuan pihak lawan," katanya.
Harimu Muda kini berada di tangga keenam (23 mata) dari 12 perlawanan dengan perbezaan dua perlawanan daripada pendahulu liga, Brunei Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) yang mengumpul 29 mata daripada 14 perlawanan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan