06 Julai 2012

Turki bantu 'pengganas'

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

ANKARA - Presiden Syria, Bashar al-Assad, sebelum ini menyuarakan kekesalan beliau berhubung tindakan tenteranya menembak jatuh pesawat Turki, pada 22 Jun lalu.

Assad juga dilihat cuba untuk memulihkan hubungan dengan Turki apabila beliau berharap krisis tersebut tidak menjerumuskan kedua-dua negara ke dalam konflik bersenjata.

Namun, dalam wawancara terbaru yang diterbitkan akhbar Cumhuriyet, kelmarin, Assad seperti mahu meningkatkan semula ketegangan dengan Turki selepas beliau menuduh negara terbabit memberi bantuan logistik kepada 'pengganas' di Syria.

Presiden tersebut turut melarang Ankara untuk campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

"Tindakan Turki untuk campur tangan dalam masalah dalaman di Syria sebenarnya telah menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

"Ankara telah memberi semua bantuan sokongan logistik kepada 'pengganas' yang bertanggungjawab mencetuskan huru-hara sejak lebih setahun lalu," katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas negara tersebut didorong oleh pengaruh kuat akibat perbezaan mazhab (Sunnah).

Difahamkan, majoriti penduduk di Turki adalah pengikut Sunnah seperti kebanyakan penduduk di Syria kecuali parti pemerintah dan tentera Assad adalah pengikut Syiah (Alawi).

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan lebih 16,500 terkorban akibat keganasan yang tercetus di negara itu sejak Mac tahun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: