16 Syaaban 1433H. [MOD] -
PASIR MAS – Selepas menggunakan tandas di luar rumah, sepasang suami isteri bersyukur kerana kesulitan yang dihadapi, mendapat perhatian daripada Islamic Aid Malaysia (IAM), semalam.
Penerima, Zawiah Abd Rahman, 36, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan tandas yang dibina berasingan, terletak 10 meter dari rumah.
Menurutnya, tiga anaknya yang masih kecil, sudah lali ketika menggunakan tandas, terutama menjelang waktu malam.
Katanya, mereka tetap berani meskipun mungkin berdepan dengan risiko diserang binatang berbisa, ketika berjalan di dalam gelap.
“Anak-anak sudah tidak rasa takut berjalan dalam gelap, jika terpaksa menggunakan tandas pada waktu tengah malam.
“Sejak kecil lagi, saya nasihati mereka agar berani dan tidak memikirkan kesulitan yang dihadapi, kerana pasti keadaan akan bertambah baik pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita.
Zawiah yang hanya bekerja sebagai pembantu farmasi, tidak mampu untuk membaik pulih rumah, kerana gaji yang diterima digunakan untuk tiga anak-anaknya.
Menurutnya, dia bekerja untuk meringankan beban suami yang bekerja sebagai pemandu lori, namun ia sekadar membantu untuk perbelanjaan harian bersama anak-anak.
Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, Zawiah adalah antara 11 keluarga miskin di Kelantan, yang menerima bantuan baik pulih rumah bernilai antara RM3,000 hingga RM20,000.
“Kita dapati, rumah mereka terlalu daif, malah dapur dan tandas juga tidak berada dalam keadaan baik, maka bantuan baik pulih akan diagihkan,” katanya, semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan