06 Julai 2012

Pemandu lori kontena maut

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

HULU BERNAM - Seorang pemandu lori kontena maut manakala kelindannya cedera setelah kenderaan dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 413.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan setelah tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi ketika kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan.

“Pemandu maut di tempat kejadian manakala kelindannya cedera dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu turut dikerah bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, pemandu yang maut dikenali sebagai Azrizan Abdul Aziz, 26, manakala kelindannya Mohd Farid Abdul Hamid, 21.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut sumber lori kontena terbabit dipercayai dipandu laju sebelum terbabas di laluan berkenaan berdasarkan kesan seretan kira-kira 50 meter.

Lori kontena yang terbalik turut menghalang laluan lebuh raya sehingga mengakibatkan kesesakan.

Kenderaan yang membawa muatan lampu itu dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar menuju sebuah gudang di Subang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: