06 Julai 2012

Kerana RM100, ugut mahu bakar rumah

16 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak dapat RM100 yang diminta daripada bapanya, seorang penganggur tergamak mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga dan membakar kediaman mereka, dalam kejadian di Kampung Tok Hakim, Padang Midin, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tindakan Abdul Hakim Che Jaafar, 23, membawanya ke penjara setelah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM4,000 atau empat bulan penjara.

Hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam selepas tertuduh mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera, dengan niat menyebabkan ketakutan kepada bapanya, Che Jaafar Ali, 55, di kediaman mereka pada jam 10 pagi, 1 Julai lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang berehat di rumah bersama ahli keluarga lain sebelum didatangi tertuduh yang meminta wang RM100 daripadanya.

Mangsa tidak mengendahkan permintaannya itu menyebabkan dia naik angin lalu mengugut akan mencederakan mangsa serta ahli keluarga dalam rumah ketika itu.

Dia turut mengugut akan membakar kediaman yang menjadi tempat berlindung mereka sekeluarga selama ini.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, memandangkan sebelum ini, dia kerap mengamuk dan merosakkan peralatan rumah disebabkan mahu duit. Abd Hakim ditangkap pada hari kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: