16 Syaaban 1433H. [MOD] -
TEMERLOH: Felda sekali lagi akan berhadapan dengan saman daripada peneroka di atas kecuaian agensi berkenaan menguruskan kepentingan peneroka dengan baik.
Pengerusi Jawatan Bertindak Peneroka Felda Keratong 8, Jaludian Mat Hussain 52, (gambar) berkata, pihaknya telah mengesan kesalahan Felda membuat pemotongan berebihan wang Tabung Tanam Semula (TTS).
Katanya, agensi berkenaan telah terlebih potong wang peneroka bagi TTS dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda setelah segala usaha untuk berunding tidak dilayan.
“Kami telah mengutus surat kepada Felda tetapi tidak mendapat layanan,” katanya.
Jelas Jaludian, Felda telah melakukan kesilapan apabila membuat potongan bagi TTS melebihi tempoh sepatutnya.
Difahamkan, Felda telah membuat potongan sebanyak RM40 sebulan selama 20 tahun bagi seorang peneroka namun angesi berkenaan didapati meneruskan potongan walaupun tempoh telah tamat.
Peneroka meminta wang berkenaan dikembalikan kepada peneroka dengan segera.
Jaludian berkata, pihaknya kini telah mendapatkan nasihat dari peguam dan akan memfailkan saman dalam masa terdekat ini.
Menurut Jaludian, peneroka sebenarnya tidak berminat untuk menyaman Felda namun tindakan agensi berkenaan yang enggan berunding dan mengembalikan wang lebihan itu memaksa peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah.
Sebelum ini peneroka turut menyaman agensi berkenaan dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) dan wang TTS yang gagal dipulangkan Felda kepada peneroka yang mengusahakan tanaman semula secara persendirian.
Jaludian menasihatkan peneroka di seluruh negara supaya membuat semakan bagi memastikan tiada potongan berlebihan untuk TTS.
Ini kerana apabila wang berkenaan sudah masuk keakauan Felda ia sukar untuk dipulangkan kepada peneroka seperti yang berlaku kepada wang TTS dimana sehingga ini masih ada peneroka yang menanam sendiri belum menerima wang mereka.
Katanya keadaan mungkin menjadi lebih sukar apabila Felda kini dikuasai oleh pihak lain yang tidak tahu asal usul Felda.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan