19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
JELI: Seramai 40 anggota tentera dari Kem Batalion Satu Rejimen Sempadan di Batu 11, Tanah Merah mendakwa mereka tidak diberi kertas undi pos.
Naib Yang Dipertua PAS Jeli, Sufely Abdul Razak berkata, anggota-anggota tentera terbabit memberitahu kepada petugas PAS mereka tidak diberi kertas undi biar pun disenarai sebagai pengundi pos.
Katanya, berdasar kepada semakan didapati nama-nama anggota tersebut memang ada pada senarai pengundi pos.
“Isunya sekarang di mana kertas undi pos milik anggota tentera terbabit. Mungkinkah ada pihak lain mengundi bagi pihak anggota berkenaan?
“Ini kerana kertas undi pos tidak sampai ke tangan mereka. Ini sesuatu yang serius. Kami telah mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Dakwaan manipulasi undi pos yang duar-uarkan sebelum ini memang wujud. Dan apa yang berlaku hari ini semakin jelas,” katanya di sini.
Menurutnya juga anggota tentera terbabit hari ini memasuki tempat pengundian awal di kem Batu 11 untuk membuang undi, sedangkan nama mereka tersenarai sebagai pengundi pos.
Kata Sufely sekiranya anggota tentera berkenaan dibenarkan mengundi awal pula, bermakna wujud dua undi bagi satu pemilih.
“Ini kerana undi pos milik mereka sudah dikeluarkan cuma tidak sampai kepada pemilik nama. Ini sesuatu yang cukup serius,” katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan