30 April 2013

Pesara kena tumbuk dalam masjid

19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Pesara kena tumbuk dalam masjid

Aziz menunjukkan bahagian matanya yang menjadi merah akibat ditumbuk.
TANJUNG BUNGAH - Seorang pesara terkejut setelah dipukul beberapa lelaki dipercayai ahli jawatankuasa (ajk) kariah masjid ketika mesyuarat agung tahunan sebuah masjid di sini.

Beliau, Aziz Kassim, 58, berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku setelah dia hendak bertanya soalan ketika mesyuarat sedang berlangsung.

Menurutnya, ketika baru sahaja dia membuka mulut hendak bertanya mengenai masjid dan juga gerak kerja yang dijalankan, tidak semena-mena dia diberi amaran.

“Saya diberi amaran kemudiannya, dan tiba-tiba diarahkan keluar oleh lima lelaki dan kemudiannya saya dipukul di bahagian mata dan baju saya dicengkam.

“Paling memalukan kejadian tersebut berlaku di dalam masjid yang mana sebuah institusi paling mulia dalam agama Islam,” katanya.

Aziz yang juga anak kariah masjid menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan masjid berkenaan.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan diadakan buat pertama kalinya selepas penubuhannya sejak tahun 1990-an lagi.

Dia berkata, difahamkan mesyuarat tersebut diadakan gara-gara menerima rungutan daripada ramai anak kariah yang tidak berpuas hati kerana masjid tidak mengadakan sebarang aktiviti dan juga tiada pertukaran ahli yang baru.

“Ketika mesyuarat berlangsung, ramai yang cuba membangkitkan isu namun tidak diberi peluang untuk mengemukakan idea dan juga soalan.

“Sehinggalah tiba pada masa saya hendak bertanya soalan, saya pula yang menjadi mangsa di hadapan kira-kira 60 orang yang hadir,” katanya.

Lebih memalukan ketika kejadian tersebut berlaku, terdapat pelancong luar negara dan masing-masing bertanya apa yang berlaku.

Akibat ditumbuk, Aziz mengalami bengkak mata kiri dan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Tokong kira-kira jam 3.30 petang kemudiannya.

“Saya cuma berharap jawatankuasa masjid dapat menjalankan kerja dengan amanah kerana sehingga sekarang aktiviti di masjid amat kurang bersama anak kariah dan ahli jawatankuasa juga tiada yang bertukar baru.

“Saya juga kesal kerana masih terpinga-pinga mengapa saya dipukul sedemikian rupa,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: