KOTA BHARU: Calon PAS yang bertanding di Dun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood, mengimami sendiri solat jenazah isterinya, Datin Fahimah Mahmood, 49, di Masjid Muhammadi, di sini semalam.
Turut menunaikan solat jenazah selepas solat Zohor itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob serta anggota-anggota exco kerajaan negeri.
Turut hadir calon-calon PAS bagi PRU13, antaranya Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (Mengkebang), Ustaz Hassan Mahmod (Tawang) dan lain-lain.
Abdul Fattah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanya khabar, menziarahi allahyarham isterinya sama ada di rumah atau di hospital sehingga di saat akhir isterinya meninggal.
“Terima kasih pada semua yang sentiasa mendoakan arwah isteri saya, semua peringkat sama ada pimpinan atau rakyat seluruhnya.
“Namun inilah usaha kita, tiba ketikanya jika sudah sampai waktu dia pergi juga,” ujarnya.
Abdul Fattah kelihatan tidak mampu mengekang air mata mengalir sewaktu menatap wajah isteri tercinta bersama anak-anaknya buat kali terakhir tengah hari semalam di kediamannya Tanjung Chat.
Perasaan semakin hiba apabila beliau sendiri mengusung jenazah isterinya untuk dimasukkan ke dalam van jenazah bagi disembahyangkan di Masjid Muhammadi selepas solat Zohor.
Datin Fahimah meninggal dunia jam 10.35 malam semalam kerana barah paru-paru.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan