19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
ALOR SETAR - Markas Unit Peti Undi (UPU) Pas di Kampung Batin, Mergong, di sini, disimbah cat merah awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu disedari orang awam yang lalu lalang di kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak berkenaan.
Calon PKR kerusi Dun Bakar Bata, Eekmal Ahmad berkata, beliau amat kecewa dengan insiden tersebut yang disifatkannya sebagai cubaan untuk menimbulkan provokasi antara parti lawan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihaknya tidak melakukan sebarang provokasi kepada mana-mana pihak lawan.
“Tindakan simbah cat ini satu tindakan yang kita percaya dilakukan oleh mereka yang sudah tidak ada jalan untuk menghalang kita. Maka dia kembali kepada cara yang tidak elok. Kita tahu cara itu sebenarnya adalah cubaan supaya kita berdiam diri.
“Pada saya, tindakan ini tidak wajar. Mereka yang buat provokasi mungkin untuk diprovokasi semula. Tapi saya yakin, jentera Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR tidak mudah untuk diprovokasi semula,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, ditanya mengenai adakah beliau yakin mampu tawan kerusi Dun Bakar Bata pada PRU13 yang disandang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah selama tiga penggal, Eekmal berkata, kelebihan itu tidak akan menggusarkan dirinya untuk bertanding.
“Saya akui itu adalah kelebihan kepada beliau sebagai calon bertanding di situ. Tapi kalau sudah terlalu lama, dia mungkin menghadapi risiko out of charge dan kehilangan hubungan yang akrab bersama rakyat setempat.
“Walaupun saya ini orang muda dan tidak boleh menjanjikan wang ringgit yang begitu banyak, tapi saya boleh janji akan memberi khidmat yang lebih baik untuk rakyat di negeri ini. Alhamdulillah, saya lihat rakyat akan buat keputusan bahawa PR akan terus melangkah ke Putrajaya pada PRU13. Berjayanya kita ke Putrajaya maka agenda PR di Kedah pun akan lancar,” katanya.
Berlandaskan kepada moto ‘kerja lebih kuat dan berdoa kepada ALLAH agar diberi keberkatan’, beliau yakin sekiranya kerja kempen dan amanah yang diberikan dibuat dengan baik, Insya-ALLAH kejayaan akan memihak kepadanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati pemimpin BN supaya tidak terlalu yakin bahawa orang muda akan menyokong BN pada PRU13.
“Jangan kita terlalu cepat buat kenyataan orang muda akan sokong BN. Biar kita tunggu sehingga 5 Mei nanti baru kita tahu siapa yang orang muda akan pilih.
“Saya percaya, orang muda akan pilih calon yang bebas rasuah dan bersih. Saya tidak maksudkan kepada sesiapa, tapi ini adalah sebagai gambaran sebenar kepada politik negara ini,” katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan