19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA AKOB - Dua beradik maut apabila kereta dipandu bapanya terlanggar seekor lembu sebelum terbabas ke dalam parit ketika dalam perjalanan ke Kuala Berang untuk membeli susu, kira-kira jam 7.40 malam kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Kampung Tajin-Telemong itu, mangsa, Muhammad Arif Iqbal Mohd Afandi, 6, dan adiknya, Nur Fiti Edrina Mohd Afandi, 4, berada di tempat duduk hadapan Nissan Grand Livina dipandu bapanya, Mohd Afandi Samsuddin, 31.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa bersama ibunya, Yusnita Jaafar, 30-an, berserta dua adik mereka terlanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaan berkenaan masuk ke dalam parit.
Akibat rempuhan kuat itu, anak sulung dan kedua Mohd Afandi cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk menerima rawatan, namun kedua-duanya meninggal dunia kira-kira jam 11 malam, kelmarin.
Datuk mangsa, Shamsuddin Muhamad, 63, berkata, pemergian serentak dua cucunya yang mesra dipanggil Along dan Kakak itu bagaikan mimpi, apatah lagi sebelum keluar, mereka sihat dan kelihatan ceria.
“Selepas selesai solat Maghrib, Mohd Afandi sekeluarga keluar tetapi belum sampai 10 minit, pakcik diberitahu oleh orang kampung mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan yang lokasinya tidak sampai dua kilometer dari rumah.
“Menantu (isteri Mohd Afandi) dan empat anak mereka tinggal bersama pakcik lebih sebulan lalu setelah dapat ditukarkan bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala Mohd Afandi masih bertugas di HKL.
“Selain anak-beranak yang lain tinggal berhampiran, ada kalanya pakcik turut mengambil Along pulang dari tabika. Setiap hari, pakcik melayan karenah mereka tetapi lepas ini pakcik tidak dapat lagi bermain dengan Along dan Kakak," katanya, semalam.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Kuala Akob dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kuala Akob, kira-kira jam 11.30, pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian berkenaan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan