14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KERUSI Parlimen Gelang Patah di Johor yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP, Lim Kit Siang, dianggap kawasan paling panas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Penganalisis politik, Prof Dr Chandra Muzaffar berkata, kawasan tersebut bukan saja mencuri tumpuan kerana persaingan sengit antara dua veteran politik yang berpengalaman, malah keputusan pengundi di Gelang Patah kelak akan menjadi penanda aras pemikiran politik masyarakat Johor khususnya, dan Malaysia secara amnya.
“Sekiranya pengundi Gelang Patah memilih Kit Siang, ini bermakna mereka mula menerima politik perkauman sempit (cauvinisme). Sentimen inilah yang dibawa Kit Siang dalam kempennya berbanding calon-calon lain.
“Jika ini berlaku, pengundi di Gelang Patah seolah-olah menggambarkan mereka tidak menghargai rekod baik hubungan antara kaum di Johor. Implikasinya amat serius kerana trend perkauman yang dibawa oleh DAP akan mempengaruhi masyarakat keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Chandra yang juga Presiden Just berkata, situasi sebaliknya berlaku jika pengundi memilih Abdul Ghani.
“Johor antara negeri yang mempunyai hubungan kaum paling baik. Abdul Ghani juga telah membuktikan perkara ini sepanjang khidmatnya sebagai menteri besar.
“Penerimaan pengundi Gelang Patah terhadap Abdul Ghani akan membuktikan mereka menghargai perpaduan kaum yang dibentuk. Jadi, terpulang kepada pengundi di sana untuk menentukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak turut berkongsi pandangan sama.
Menurutnya, kerusi Gelang Patah dianggap panas kerana buat pertama kalinya tokoh Barisan Nasional (BN) bertemu pemimpin utama DAP di kawasan majoriti bukan Melayu.
Katanya, persaingan juga semakin sengit kerana kedua-dua calon merupakan muka baru bertanding di Gelang Patah.
“Sukar untuk menjangka siapa yang akan menang. Kedua-duanya mempunyai peluang sama rata, 50-50.
“Abdul Ghani mempunyai kelebihan sebagai menteri besar tetapi beliau perlu menambat hati pengundi Cina. Kit Siang pula tidak boleh bergantung kepada undi Cina kerana terdapat juga pengundi Melayu dan India,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Ghani pernah menyifatkan pemilihannya bertanding di kerusi panas itu satu amanah biarpun mengakui berdepan saingan sengit.
Katanya, beliau menyerahkan kepada budi bicara pengundi Gelang Patah seramai 106,000 itu untuk membuat keputusan terbaik memilih wakil rakyat yang akan memberikan khidmat kepada mereka.
Manakala, Kit Siang mengambil pendekatan sebagai underdog dalam pertembungannya dengan Abdul Ghani.
Beliau meramalkan peluang untuk menang adalah 45 peratus, berbanding 55 peratus bagi Abdul Ghani.
Abdul Ghani yang memegang jawatan menteri besar selama empat penggal mulai 1995 sebelum ini bertanding di kerusi Dun Serom.
Manakala Kit Siang pula merupakan penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan