25 April 2013

Orang kuat Umno di Jelawat sertai PAS

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BACHOK: Menjelang 10 hari tarikh pembuangan undi, semakin ramai ahli dan penyokong Umno di Kelantan meninggalkan parti Melayu bersimbol keris itu.

Malam tadi 10 ahli Umno di Kampung Kuin Pasir, Dun Jelawat mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai PAS pada program ceramah.


Tengku Mahyudin Tengku Husin yang mengetuai anggota keluarganya menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan disaksikan ribuan yang hadir.


Tengku Mahyudin yang lebih mesra panggilah Ayah Ku  berkata, beliau meninggalkan Umno kerana sedar parti itu sudah jauh menyimpang daripada landasan perjuangan asal.


“Umno sekarang diibaratkan sebagai sebuah kapal yang hampir karam,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan. 


Hadir sama calon parlimen Bachok, Ustaz Marzuk Shaary, calon Dun Jelawat, Abdul Azizz Kadir, bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zulkifli Zakaria, Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani dan Pengerusi Pondok Al-Islahiyyah Ustaz Zulkarnain Yusof.  


Berucap pada ceramah tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kita mesti ubah pentadbiran kepada Islam yang jelas lebih adil kepada semua manusia.


“Dengan berpandukan Islam, manusia ditambat dengan agama.  Ia menjadi benteng mengelakkan kita daripada melakukan sebarang perkara yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad saw.


“Cerita kita berbalah dengan Umno sebenarnya telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad saw, di mana satu kumpulan mengikut ajaran Nabi dan sekumpulan lagi menentang,” ujarnya.

Marzuk pula berkata, sekiranya kita membelakangi al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian, di akhirat kelak kita akan menerima pembalasannya.


Abdul Azizz Kadir mengajak orang ramai merenungi kembali apa yang terdapat di Kelantan sebelum 1990, di mana penuh dengan hiburan, jualan arak secara terbuka dan premis judi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: