14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Subky Latif |
KETIKA rencana ini ditulis Kamilia masih Naib Ketua Wanita UMNO. Ketika rencana ini disiarkan dia adalah calon Bebas Parlimen Kuala Kangsar dan sudah dipecat dari UMNO. Berikut adalah rencana itu:
TIDAK diketahui gerangan Perdana Menteri Najib tidak menyenaraikan Dato Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO dalam senarai calon BN.
Dia ada alasan untuk mengenepikan Shahrizat Jalil, Ketua Wanita itu kerana orang tak tercium bau lembu yang menyelubungi keluarganya berikut skandal gembala suami dan anak-anaknya.
Menggugurkannya ada hubungan dengan formula calon plihan Najib semuanya calon boleh menang. Tidak mencalonkannya tepat dengan formula itu. Jika dia dicalonkan juga, maka matilah Najib dan BN ditubi pembangkang dalam kempen.
Tetapi orang tidak tahu mengapa Kamilia tidak tersenarai? Adakah kerana dia amat lantang mahu ketuanya Shahrizat meletak jawatan dari Ketua Wanita dan menteri sebaik saja skandal gembala lembu suaminya terbongkar. Wanita UMNO baginya tak terpikul dan tercium pekung lembu itu.
Dan adakah juga tidak disenangi oleh Tan Sri Rafidah Aziz kerana dalam klik tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita itu dulu. Rafidah tidak gembira Kamalia menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua sedang Rafidah sendiri dicabar Shahrizat.
Atau pemimpin wanita dari Kuala Kangsar itu tidak menepati piawaian calon yang dikehendaki oleh badan penapis SPRM. Lama sebelum Parlimen dibubarkan BN menekankan betapi calonnya perlu diluluskan oleh SPRM dulu.
Walaupun ada kayu-kayu buruk UMNO dicalonkan semula, mungkin mereka melepasi tapisan SPRM. Apakah pemimpin wanita itu sangkut di situ?
Apapun Kamilia ketika ketuanya yang dulu tidak berpakaian kemas dan ketika ketuanya yang sekarang belum berpakaian kemas, beliau sudah tampil berpakaian mengikut piawaian Islam.
Dari luar dia dilihat sebagai wanita yang sopan, elok sangat bagi sahsiah sayap gerakan wanita beragama Islam.
Dengan kedudukannya dan sebagai seorang profesional, dia ada kelayakan menjadi calon BN. Belum tentu calon-calon yang dikemukan lebih elok dari dia.
Katakanlah sebagai loyar, boleh jadi dia loyar buruk, tetapi ramai orang loyar buruk menjadi ahli politik yang baik dan berjaya. Kamilia dipercayai tidak termasuk dalam golongan itu sebagai orang politik mahupun sebagai pengamal undang-undang.
Apa jua kelemahannya dia adalah Naib Ketua Wanita, orang nombor dua penting dalam gerakan wanita itu. Jika berpuluh-puluh wanita di bawahnya dijadikan calon, mengapa Najib dan Muhiyddin terlepas pandang dengannya dan adakah Shahrizat sendiri tidak menyokongnya?
Sesudah Shahrizat digugurkan adalah menjolok mata apabila orang nombor dua diketepikan.
Mungkin dia ada kelemahan, tetapi apabila dicalonkan, maka maruahnya mulai ditanya, apa sebab dia diketepikan. Berbagai andaian dan fitnah boleh timbul.
Dia ada maruah, tetapi dia tidak dinilai oleh pemimin UMNO. Dia boleh mengambil tindakan bagi membuktikan orang yang bermaruah. Jika UMNO tidak menilai perjuangan dan perkhidmatannya kepada parti itu, bumi ini luas buatnya. Dia boleh teruskan di tempat lain.
Apa yang terjadi kepadanya, kira-kira satu yang malang bagi Wanita UMNO. Sebaik BN dilanda tsunami politik PRU 2008 dulu, Perdana Menteri Abdullah Badawi tidak memasukkan wakil Wanita UMNO dalam barisan kabinetnya. Satu-satunya menteri wanita yang selamat dari tsunami itu ialah Rafidah Aziz, ketuanya. Justeru lama sangat dalam kabinet, mungkin masanya untuk digugurkan telah tiba, maka dia digugurkan.
Dengan menggugurkannya, langsung Wanita UMNO tiada dalam kabinet pertama kali sejak zaman Tunku. Bising Wanita UMNO dan Tun Abdullah tiada jawapan. Bila Najib mengambil alih diangkatnya Shahrizat yang kalah menjadi senator. Maka ada semula Wanita UMNO jadi menteri.
Wanita UMNO tiada menteri lagi bila Shahrizat tidak disambung keahlian senatnya. Jika Kamilia dicalonkan dan menang, dan BN menang lagi, tentulah Kamilia boleh mengisi kerusi yang dikosongkan Shahrizat itu.
Setelah bertahun-tahun dia sabar, peluang terbaiknya ialah ini kalilah. Tetapi Najib ketepikan dia. Cerdikkah Najib buat begitu? Mungkin UMNO bukan wadah yang elok bagi Kamilia. Bumi ini luas. Tempatnya mungkin tidak di situ.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan