25 April 2013

10 kain rentang hasutan dirampas

14 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Superintenden Che Mahazan Che Aik

Superintenden Che Mahazan Che Aik
KOTA BHARU - Polis Kelantan merampas 10 kain rentang yang digantung termasuk provokasi berkait isu video seks mirip seorang pemimpin kanan Pas di sekitar kampung dan jalan di Machang, semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata, operasi dijalankan Pasukan

Pemantau PRU13 di empat lokasi di Machang, pada jam 9.30 malam.

Katanya, kain rentang yang digantung di Kampung Bagan dan Kampung Bandar, Pulai Chondong itu dipercayai mengandungi unsur hasutan yang boleh menggugat keamanan menjelang PRU13, 5 Mei ini.

“Dalam operasi sama, sembilan lagi kain yang mengandungi perkataan yang boleh mencetuskan pergaduhan termasuk yang digantung di tepi jalan Air Hijau dan Jalan Kampung Kaabah juga diturunkan.

“Kami perlu mengambil tindakan ini supaya keadaan aman di negeri ini sentiasa terjaga. Saya juga menasihatkan penyokong-penyokong semua parti supaya menjaga tingkah laku bagi mengelak tercetus pergaduhan,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 198 kertas undi pos mula diedarkan kepada 128 anggota di 10 daerah dan 70 di IPK negeri ini, pada jam 10 pagi, semalam.

“Mereka yang terlibat ini ialah anggota yang terbabit dalam penugasan aktif dan lain-lain tugasan pada PRU13. Kertas undi yang siap dipangkah oleh anggota akan dihantar semula ke IPK Kelantan selewat-lewatnya 1 atau 2 Mei sebelum diserahkan kepada pegawai di daerah undi masing-masing,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: